Isu cop parking tiada penghujung, letak pasu, tayar bukti sikap penghuni flat tak berubah


  • Berita
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Beberapa ruang parking yang diletakkan kon, pasu dan tayar sebagai tanda ianya dimiliki oleh penghuni blog tersebut.

ISU cop parking menjadi masalah utama di kawasan perumahan flat dan rata-rata penduduk nyata tidak berpuas hati dengan sikap segelintir masyarakat yang terlalu mementingkan diri.

Situasi ini boleh dilihat di sebuah pangsapuri di Bukit Tinggi, Klang apabila kebanyakan kawasan parking di sini seakan sudah dicop oleh penghuni hingga menyebabkan kawasan perumahan berkenaan menjadi sesak dengan kenderaan yang ingin memasuki blok rumah pangsa berkenaan.

Hasil tinjauan Majoriti mendapati isu ini sememangnya berlaku dalam kalangan penduduk Pangsapuri Bukit Tinggi 1 kerana terdapat beberapa ruang parking yang diletakkan kon, pasu dan tayar sebagai tanda ianya dimiliki oleh penghuni blok tersebut.

kon

Beberapa kawasan parking yang sengaja diletakkan kon oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Majoriti

Menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk setempat, rata-rata menyuarakan pendapat kurang berpuas hati dengan isu yang berbangkit di kawasan perumahan mereka.

Ujar Azmil Masrom, 62 yang merupakan salah seorang penduduk di situ, masalah ini sememangnya sudah menjadi isu sejak bertahun-tahun lamanya dan rata-rata penduduk di sini berhadapan masalah terutama ketika pulang dari kerja.

iv

Salah seorang penduduk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu cop parking di perumahannya. — Majoriti

"Sesetengah penduduk ada yang akan pulang lewat malam dan rata-rata mereka akan menghadapi masalah untuk mencari parking akibat daripada perbuatan penduduk lain yang meletakkan kon sebagai penghadang jalan.

"Sekiranya kon tersebut dialihkan, si pelaku akan bertindak seakan samseng dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk di sini Yusuf Ahmad, 29, berpendapat tindakan cop parking adalah perbuatan yang kurang beradab kerana banyak kawasan yang sengaja diletakkan kon seolah-olah ia milik mereka.

"Rumah di sini bukannya seperti di pangsapuri mewah yang ada kawasan parking persendirian, jadi mahu atau tidak, penduduk perlulah bersikap toleransi dan bertolak ansur satu sama lain," katanya.

Ditanya soal saranan dan harapan penduduk di sini, rata-rata mereka mengharapkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) lebih prihatin dan mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak terbabit.

Budaya cop parking ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya. — Majoriti