'Kuda tua' belum gantung but, 5 'otai' masih berbisa digeruni kawan dan lawan


  • Podium
  • Selasa, 02 Ogos 2022

ANTARA peristiwa yang tidak akan dilupakan oleh penyokong bola sepak tempatan adalah jaringan gol jarak jauh Indra Putra menentang Singapura. — Agensi

SAINGAN Liga Super musim ini banyak menampilkan pelbagai bakat muda tempatan yang mula menyinar namun kelibat pemain veteran juga turut mencuri tumpuan peminat bola sepak.

Pemain-pemain ini masih cergas bermain malah kehadiran mereka diatas padang turut mampu memberikan impak kepada pasukan walaupun mereka ini sudah menjangkau usia lebih dari 35 tahun.

Pelbagai faktor yang menyebabkan di kalangan jurulatih gemar menurunkan pemain-pemain senior tidak kiralah sama ada bermula dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian.

Selain daripada masih mempamerkan impak yang positif di atas padang, sebab-sebab yang lain mereka menjadi pilihan jurulatih adalah kerana pengalaman dan pengaruh.

Piala Dunia yang bakal berlangsung pada November depan juga sebenarnya mempunyai beberapa pemain tua antaranya penjaga gol Jepun, Eiji Kawishima (39); pemain Brazil, Dani Alves (39) dan Thiago Silva (38); pemain Croatia, Luka Modric (37) dan pemain Portugal, Christiano Ronaldo, 37 tahun.

Berikut merupakan 5 pemain tempatan tertua yang masih menjadi nadi pasukan dalam Liga Super dan Premier musim 2022:

AmriPic

Amri paling lama beraksi bersama skuad Selangor sejak 2001 hingga 2013 sebelum berhijrah ke JDT pada 2014 hingga 2016. Facebook/Sabah FC

1. Amri Yahyah

Posisi: Penyerang/ Pemain Sayap

Kelab: Sabah FC

Tarikh Lahir: 21 Januari 1981

Walaupun sudah berusia 41 tahun, Amri Yahyah atau juga dikenali dengan nama Wak Am masih lagi menjadi taruhan pasukannya kini, Sabah FC.

Pada musim lalu, Amri membuat 21 penampilan bersama Sabah FC dan menjaringkan 4 gol.

Sepanjang kariernya, Amri paling lama beraksi bersama skuad Selangor sejak 2001 hingga 2013 sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 2014 hingga 2016.

Selepas itu dia beraksi bersama Melaka United pada 2017 sebelum kembali semula ke pangkuan Selangor pada 2018 hingga 2019.

Pada 2020, Amri berhijrah pula ke Sarawak United dan kini beraksi bersama skuad Sabah FC.

Sepanjang kariernya, dia berjaya merangkul 19 trofi iaitu Liga Super, Piala FA, Liga Premier termasuk dua trofi antarabangsa, Piala Asia 2015 (AFC) dan Piala AFF Suzuki 2010.

Terbaharu, pemain kelahiran Kuala Selangor ini membantu pasukan Sabah mengutip tiga mata berharga selepas dia berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang pasukan Melaka United di Stadium Likas, Sabah pada Ahad.

Farizal-Marlias-re

Farizal masih mengekalkan kedudukannya sebagai penjaga gol dengan paling banyak cleansheet musim ini dalam saingan Liga Super. Facebook/JDT

2. Farizal Marlias

Posisi: Penjaga Gol

Kelab: Johor Darul Takzim

Tarikh Lahir: 29 Jun 1986

Kedudukan Farizal sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya dan pasukan JDT tidak dapat digugat mana-mana pemain lagi walaupun dia sudah menjangkau usia 36 tahun pada tahun ini.

Sepanjang karier Farizal sebagai pemain bola sepak, dia sudah mewakili pasukan Shahzan Muda, Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Johor.

Bersama JDT, pemain kelahiran Maran, Pahang ini berjaya melakukan 120 penampilan dan mencatat 58 perlawanan tanpa bolos sejak 2015.

Selepas 12 perlawanan musim ini Farizal masih mengekalkan kedudukannya sebagai penjaga gol dengan paling banyak cleansheet musim ini dalam saingan Liga Super.

Baru-baru ini Farizal selaku kapten pasukan kebangsaan berjaya membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 menamatkan penantian selama 43 tahun.

296243242_161994089711261_4449338653670892036_n

Indra berjaya mengecapi pelbagai kejuaraan seperti Piala FA, Piala Malaysia dan Juara Liga Super. Facebook/Perak FC

3. Indra Putra Mahayuddin

Posisi: Pemain Tengah/ Penyerang/ Pemain Sayap

Kelab: Perak FC

Tarikh Lahir: 2 September 1981

Indra Putra Mahayuddin merupakan seorang pemain yang dilihat sebagai serba boleh, dia juga mampu beraksi sebagai penyerang, pemain tengah dan sayap.

Pemain berusia 41 tahun ini memiliki kemahiran untuk melakukan jaringan gol melalui sepakan percuma.

Antara gol yang dijaringkannya menerusi sepakan percuma adalah perlawanan menentang Myanmar pada Pestabola Merdeka 2008, Piala AFF Suzuki menentang Vietnam, dan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 menentang Negeri Sembilan.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Indra berjaya mengecapi pelbagai kejuaraan seperti Piala FA, Piala Malaysia dan Juara Liga Super bersama pasukan Perak, Pahang, dan Kelantan.

Bersama pasukan Selangor dan T-Team dia hanya meraih naib juara dan tempat ketiga.

Peristiwa yang tidak akan dilupakan oleh penyokong bola sepak tempatan adalah jaringan gol jarak jauh Indra Putra menentang pasukan kebangsaan Singapura pada kempen Piala AFF Suzuki 2014.

Zaquan-Adha-3

Zaquan pernah dinobatkan sebagai pemain muda harapan negara pada 2006/2007. Facebook/Negeri Sembilan FC

4. Zaquan Adha

Posisi: Penyerang/ Pemain Sayap

Kelab: Negeri Sembilan FC

Tarikh Lahir: 3 Ogos 1987

Baru sahaja menyertai pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim 2021 dalam saingan Liga Premier, anak jati kelahiran Negeri Sembilan ini berjaya membantu pasukannya menjadi juara liga sekali gus layak beraksi di Liga Super.

Zaquan pernah dilantik menjadi ketua pasukan kebangsaan ketika era permulaan Tan Cheng Hoe dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya pada 2018.

Pemain berusia 35 tahun ini pernah dinobatkan sebagai pemain muda harapan negara pada 2006/2007 sebelum dia ditimpa pelbagai masalah kecederaan yang membuatkan kariernya malap seketika.

Sepanjang bergelar pemain dia pernah mewakili beberapa pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Johor Darul Takzim, Perak FC, Kedah Darul Aman, KL City FC sebelum kembali berkhidmat bersama Negeri Sembilan.

Terbaharu, Zaquan berjaya membantu pasukan NSFC bangkit dari ketinggalan dengan keputusan 3-2 menentang Selangor FC dalam perlawanan Liga Super pada Ahad.

sharbinee

Sharbinee sebelum ini pernah 'berehat' seketika daripada pasukan Terengganu FC kerana menghadapi kanser paru-paru. Facebook/Sarawak United

5. Sharbinee Allawee

Posisi: Penjaga Gol

Kelab: Sarawak United FC

Tarikh Lahir: 7 Disember 1986

Legenda Terengganu FC yang kini mewakili Sarawak United pernah menjadi penjaga gol pilihan pertama Terengganu selama enam tahun dan sehingga digelar penjaga gawang terbaik di Malaysia.

Sharbinee sebelum ini pernah 'berehat' seketika daripada pasukan Terengganu FC selepas dikesan mengalami masalah kesihatan dan disahkan menghadapi kanser paru-paru.

Walaupun tiada sebarang kejayaan yang pernah diperolehi sepanjang bergelar pemain bola sepak tambahan pula baru bebas dari penyakit kanser, pemain berusia 36 ini tetap menarik minat beberapa pasukan.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu sudah melakukan 114 penampilan bersama pasukan Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan kini Sarawak United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram