Zainal Abidin, Dollah Salleh antara 4 legenda terima gelaran Datuk


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Barisan legenda bola sepak negara Zainal Abidin (paling kanan) (paling kiri) Dollah Salleh, Ahmad Yusof (dua dari kanan) dan Yunus Alif (dua dari kiri) dianugerahkan gelaran Datuk.

BARISAN legenda bola sepak negara iaitu Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusof dan Ahmad Yunus Mohd Alif dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu diterima mereka pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada Isnin bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Zainal Abidin, 60, merupakan salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

Dollah Salleh, 59, pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

Kini Zainal Abidin membimbing pasukan Penang FC selepas dilantik menggantikan Tomas Trucha pada Jun, manakala Dollah sedang mengendalikan Sri Pahang FC.

Ahmad Yusof, 62, sentiasa akan diingat dan dikenang sebagai kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara Yunus, 64, pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an cukup sinonim namanya di pentas bola sepak negara bersama abangnya, Datuk Abdah Alif.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Facebook, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli-ahli jawatankuasa eksekutif dan seluruh warga kerja FAM mengucapkan sekalung tahniah kepada empat bekas pemain bola sepak kebangsaan tersebut.

Jasa dan pengorbanan legenda bekas Harimau Malaya kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram