Ketahui pro-kontra jika 5 pemain kebangsaan ini sah ke Sabah FC musim depan


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Ong Kim Swee dikhabarkan mahu membawa lebih ramai lagi pemain kebangsaan ke dalam pasukan Sabah FC musim depan. — Bernama

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dikhabarkan mahu membawa lebih ramai lagi pemain kebangsaan ke dalam pasukan Sabah FC untuk musim depan.

Ia dikatakan bagi memperkuatkan skuad The Rhinos sebagai antara pencabar utama Liga Super sekali gus memberikan saingan kepada pasukan elit lain seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Disebabkan itu, peminat fanatik Negeri Di Bawah Bayu itu mula berteka-teki siapa tonggak skuad Harimau Malaya yang bakal dipikat Kim Swee musim depan.

Cuma pada masa sama, ada juga yang kurang bersetuju, sebaliknya mendesak Kim Swee supaya memberi lebih banyak peluang kepada anak jati negeri itu bagi membuktikan kemampuan.

Suka atau tidak, berikut merupakan lima pemain kebangsaan yang disebut-sebut berada dalam radar Sabah FC sama ada benar-benar membantu pasukan itu mencabar kejuaraan liga ataupun sebaliknya:

1. Darren Lok (PJ City)

Pro: Pemain berusia 31 tahun ini merupakan pemain bola sepak Inggeris kelahiran Malaysia yang bermain di posisi penyerang. Musim ini, Darren merupakan penyerang utama PJ City dan telah meledak tujuh gol pada saingan Liga Super manakala tujuh gol pada Piala FA. Bakat Darren sebagai penyerang boleh memberikan kelebihan kepada pasukan Sabah FC. Ini kerana penyerang semasa Sabah FC, Jose Embalo masih lagi gagal menyumbangkan sebarang gol kepada pasukan Sang Badak itu. Mengikut laporan media tempatan minggu lalu, Kim Swee akui agak kecewa dengan persembahan Embalo yang masih gagal mencari rentak meskipun telah tampil dalam empat perlawanan bersama pasukan Sang badak.

Kontra: Antara faktor kecermerlangan Darren di PJ City adalah dia diberikan lebih minit permainan berbanding ketika di JDT. Ini kerana prinsip #yakinilokal yang dipegang PJ City membuka ruang kepadanya untuk lebih menyinar. Jika Darren ke Sabah, dia perlu bersaing dengan Taiki Kagayama yang telah menjaringkan dua gol buat pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini. Kagayama turut menyumbang satu gol dalam saingan Piala FA.

Faisal halim

2. Faizal Halim (Terengganu FC)

Pro: Pemain sayap lincah pasukan dari Terengganu, Mohd Faisal Halim sememangnya nama yang menjadi sebutan ramai. Kelincahannya dalam permainan telah menyumbangkan tiga gol pada 10 penampilannya bersama Terengganu FC (TFC) di Liga Super musim ini. Faisal Halim juga meledak dua gol bersama skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan serta kejohanan kelayakan Piala Asia.

Kontra: Pemain penuh kontroversi ini dikatakan memiliki masalah karektor dan tidak profesional. Menurut pemerhati sukan, Zuraimi Zukri, sifat tersebut tidak sesuai kerana menampakkan mentaliti kelas rendah meskipun memiliki kualiti permainan yang tinggi. Kontroversi terbaharu melibatkan Faisal adalah ketika beliau membuat provokasi ‘menganjing’ Mamadou Samassa dengan mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti berkenaan. Insiden itu berlaku pada aksi TFC menentang Sri Pahang, Julai lalu. Justeru, Kim Swee perlu berfikir sejenak sebelum mengambilnya.

Brendan Gan

3. Brendan Gan (Selangor FC)

Pro: Pemain pertahanan berusia 34 tahun ini dikatakan bakal menjadi aset terbaik Sabah jika digandingkan di bahagian tengah bertahan bersama pemain Sabah FC, Stuart Wilkin. Biarpun baru kembali daripada rehat panjang setelah bertarung melawan kanser testis, Brendon telah menyumbangkan dua gol pada saingan Liga Super bersama Selangor FC musim ini.

Kontra: Sesetengah peminat mengaitkan penyakit Brendan yang disahkan menghidap kanser sebagai satu penghalang buatnya untuk beraksi dengan baik pada musim depan. Walaupun Brendan telah berjaya melawan kanser testis yang dihadapinya sejak Julai lalu, namun ramai meragui kemampuan untuk memerah keringatnya seperti dahulu. Kini, Brendan tidak dibenarkan bermain selama 90 minit dan kemampuannya untuk kembali seperti dahulu juga masih lagi diragui.

Azam azih

4. Azam Azih (Sri Pahang FC)

Pro: Bintang tengah Sri Pahang ini mampu mengawal tempo dan mampu membuat hantaran jauh yang tepat. Segelintir penyokong Pahang FC berasakan bahawa Azam hanya mensia-siakan bakat besarnya sekiranya dia kekal di Stadium Darul Makmur. Oleh itu, jika Azam sertai Sabah FC, maka dia berpeluang untuk diasah oleh Kim Swee sendiri.

Kontra: Sama seperti Darren, potensi untuk Azam sekadar duduk memanaskan kerusi simpanan itu tinggi kerana perlu bersaing dengan pemain import sekiranya untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama.

Mukhairil Ajmal

5. Mukhairi Ajmal (Selangor FC)

Pro: Mukhairi memiliki kepantasan, teknik dan penyudah yang baik dan bertindak sebagai playmaker dalam perlawanan Selangor FC menentang Kedah April lalu apabila berjaya menyumbangkan satu gol buat skuad Gergasi Merah. Kelebihan ini boleh dimanfaatkan oleh Kim Swee untuk meningkatkan lagi bahagian tengah pasukan Sabah FC.

Kontra: Terpaksa bersaing dengan pemain senior berbakat seperti Badrol Bakhtiar, Park Taesu dan Gary Steven Robbat. Minit permainan Mukhairi mungkin terhad dan tidak seperti mana di Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram