Bekas bintang bola sepak jual 'perfume' tampung rawatan, rayu bantuan pencen


  • Podium
  • Ahad, 31 Jul 2022

Salahuddin (kiri) sewaktu mewakili pasukan kebangsaan dan keadaan dirinya kini yang menderita sakit jantung.

"KETIKA diperlukan untuk bertarung di padang, kita disanjung. Tapi bila dah sakit, harunglah kesusahan seorang diri."

Itu yang diluahkan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose, 53, yang kini menderita akibat sakit jantung dan terpaksa mencari duit sendiri untuk menampung kos perbelanjaan.

Menurut Salahuddin, bukan dia seorang saja yang diduga dengan masalah kesihatan, tetapi ramai lagi rakan-rakan bola sepak yang kini berdepan situasi sama.

"Bila kami diperlukan, ditatang bagi minyak yang penuh. Bila satu ketika kita dah tak mampu, past is past, jadi macam itu.

"Sepatutnya kita ini bekas pemain kebangsaan yang pernah mengharumkan dan berbakti nama negara diberilah peluang untuk mendapat pendapatan bulanan atau pencen dari kerajaan.

56106040_388843241712455_2026541337494421504_n (1)

Salahuddin (tengah) sewaktu beraksi untuk pasukan Pahang.

"Sekurang-kurangnya dapatlah rasa penghargaan terhadap pengorbanan kami untuk negara. Tetapi setakat ini, nampaknya masih belum ada maklum balas," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, apa yang diluahkan ini bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga melibatkan semua bekas pemain bola sepak dan atlet lain yang berkhidmat untuk negara.

"Kerajaan khususnya Kementerian Belia Dan Sukan sekurang-kurangnya berilah penghargaan menerusi pencen yang akhirnya boleh digunakan untuk hari-hati tua kami.

"Sakit ke demam ke sekurang-kurangnya ada duit bulanan untuk kami gunakan. Bukan banyak pun, sekali sahaja kami minta penghargaan itu," katanya yang kini tinggal di rumah kakaknya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Jual minyak wangi untuk tampung kos perubatan jantung

Diduga dengan penyakit jantung sejak 2012, Salahuddin berkata, dia kini sedang mengumpul duit untuk menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM80,000.

Dia pernah memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) namun gagal disebabkan caruman yang sedikit dan selepas itu hanya menerima bantuan zakat RM300 dan bantuan kebajikan RM300 sebulan.

Menurut bekas pemain yang pernah beraksi untuk pasukan Pahang ini, buat masa ini dia menjual minyak wangi untuk menampung kos rawatan.

WhatsApp Image 2022-07-31 at 1.56.07 PM

Antara yang membeli minyak wangi dari Salahuddin.

Jelasnya, minyak wangi itu dijual menerusi rakan yang dikenali kerana dia sendiri sudah tidak begitu larat untuk menjualnya secara terus di luar.

"Biasanya Faizul dari Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang yang akan bantu saya untuk urusan jual beli.

"Kawan saya sebenarnya yang bantu menerusi jualan minyak wangi... Saya akan dapat untung jika jualan di bawah nama saya.

"Setakat ini itu sahajalah yang saya mampu usahakan. Nak bergerak aktif pun susah sebab sekarang memang cepat penat," katanya yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Salahuddin yang pernah membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia pada 1992 sebelum berhijrah ke Pulau Pinang berkata, setiap bulan dia perlu menjalani rawatan untuk jantung.

Setiap kali itu juga katanya, dia terpaksa mencari duit untuk menampung kos ulang-alik dan kos rawatan.

"Saya ada berjumpa dengan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), dan pihak mereka juga bersetuju untuk membantu mendapatkan subsidi bagi mengurangkan kos pembedahan itu.

WhatsApp Image 2022-07-31 at 2.03.03 PM

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (tengah) bersama minyak wangi yang dijual Salahuddin.

"Sebelum ini masa berita saya keluar pada 2018 pun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada bantu dan memberi wang sebanyak RM5,000 untuk saya gunakan bagi tujuan rawatan jantung.

"Alhamdulillah, wang itu dapatlah saya gunakan untuk tampung kos perubatan sebanyak dua kali kerana sekali rawatan sudah berjumlah lebih RM2,000," katanya yang masih menantikan waktu sesuai untuk pembedahan jantungnya dijalankan.

Bola sepak masih dalam jiwa, reda dengan ujian

Sekali sudah bergelar pemain bola sepak, sehingga akhir nyawa pun jiwa pemain itu tetap ada dalam diri.

Itulah yang dirasakan Salahuddin yang masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan khususnya skuad Pahang dan Pulau Pinang.

"Saya masih ikut. Kadang-kadang ada yang panggil saya untuk berjumpa dan kalau larat, saya pergi. Cuma nak beri komitmen 100 peratus itu memang susah sebab fizikal pun dah tak larat.

"Semua bekas pemain Pahang dan Pulau Pinang saya masih berhubung lagi," katanya yang menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk membantu menampung kos perubatannya.

295485616_1490660188036760_3468666726544759924_n

Set jualan minyak wangi yang berjumlah RM100 dijual Salahuddin. — Facebook

Jauh di sudut hati Salahuddin, dia mengakui segan untuknya meminta bantuan tetapi mengenangkan keupayaan dirinya yang terhad, dia cuba juga semampu dirinya.

Namun baginya, dia reda dan pasrah dengan ujian yang menimpa dirinya kerana perkara ini bukanlah sesuatu yang diminta.

Mereka yang ingin membantu untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 157091352348 (Maybank Mohd Salahuddin Che Ros) atau berhubung terus dengannya menerusi talian 01112288935 untuk membuat pembelian minyak wangi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram