Serpihan roket China di ruang udara Kuching, jatuh di Laut Sulu


  • Primer
  • Ahad, 31 Jul 2022

Tangkap layar serpihan roket yang memasuki ruang udara Sarawak pada Ahad. — Astro Awani

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengesahkan kemasukan semula (re-entry) serpihan roket Long March 5B milik negara China pada pukul 12.55 pagi Ahad.

Dalam catatan terbaharu di akaun Facebook rasmi, Mosti berkata, serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi.

"Pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi di ruang udara sekitar Sarawak.

"Sisa serpihan yang terbakar berkenaan direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu, iaitu kawasan antara latitud 9.1 Utara dan Longitud 119.0 Timur," katanya.

Jelasnya, pemantauan secara berterusan dilakukan oleh Mosti melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Insiden itu tular di media sosial sejak awal pagi Ahad, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan netizen khususnya di Kuching, Sarawak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram