Tutup mulut pengkritik, Klopp puas hati impak Nunez sebagai ‘supersub’


  • Podium
  • Ahad, 31 Jul 2022

Nunez (kanan) bersama Luis Diaz bergambar dengan trofi Perisai Komuniti musim ini apabila menewaskan Man City 3-1. — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp nyata berpuas hati dengan impak ditunjukkan penyerang baharu The Reds, Darwin Nunez ketika menumpaskan Manchester City (Man City) 3-1 pada aksi Perisai Komuniti di Stadium King Power, England, pada Ahad.

Menurut Klopp, biarpun hanya diturunkan pada babak kedua, namun kehadiran Nunez nyata membantu jentera serangan skuad kendaliannya itu bagi memenangi perlawanan berkenaan.

"Saya sukakan impak yang dibawa oleh Nunez pada Ahad walaupun hanya beraksi sebagai pemain gantian, namun impak yang dibawanya cukup besar bagi membantu kemenangan Liverpool.

"Saya juga yakin bahawa Nunez bakal memberikan impak yang lebih baik selepas ini bagi membantu kami melakar lebih banyak kejayaan," katanya.

1855791

Skuad The Reds bersama trofi Perisai Komuniti yang dimenangi selepas menewaskan Man City. — Agensi

Untuk rekod, Nunez yang masuk menggantikan Roberto Firmino pada mint ke-58 turut menjaringkan satu gol apabila menanduk masuk gol ketiga pada masa kecederaan sekali gus mengesahkan kemenangan Liverpool kali ini.

Sebelum itu, Trent Alexander-Arnold membuka jaringan buat The Reds ada minit ke-21 menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti sebelum pemain gantian City, Julian Alvarez menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 hasil keadaan kelam kabut di depan pintu gol.

Bagaimanapun penyerang sensasi, Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua Liverpool sebelum Nunez melengkapkan kemenangan The Reds apabila menanduk masuk gol ketiga pada masa kecederaan.

Sementara itu, Klopp berkata, aksi mantap dipamerkan Nunez pada perlawanan berkenaan diharap dapat menutup mulut pengkiritik yang meragui kemampuan pemain Uruguay itu yang dilihat tidak begitu menyerlah pada aksi pra-musim lalu.

Malah, Klopp juga yakin pemain Uruguay berusia 23 tahun itu akan lebih menyerlah pada perlawanan-perlawanan akan datang.

"Masih banyak sebenarnya yang perlu ditunjukkan oleh Nunez selaku ‘penggempur’ baharu Liverpool dan saya percaya ia mampu dilakukan selepas ini," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram