PENAMPILAN pertama pada pentas Liga Super merupakan detik yang dinanti-nantikan semua pemain-pemain muda dalam saingan Liga Malaysia.
Lumrah bagi setiap pemain untuk merasa gugup terutama apabila mereka kekurangan pengalaman untuk menghadapi pemain-pemain bintang yang akan turut beradu di atas pentas sama.
Situasi tersebut juga menyelubungi pemain muda Negeri Sembilan FC (NSFC), Afiq Fitri pada aksi debutnya di pentas Liga Super ketika NSFC menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada Rabu.
Afiq yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-77 dilihat agak gugup, jadi rata-rata penyokong skuad Jang Hobin mendesak supaya pemain muda itu tidak lagi berdarah gemuruh menjelang pertemuan menentang Selangor FC, pada Ahad.
Untuk rekod, pemain berusia 20 tahun tersebut memulakan karier bersama NSFC apabila mewakili pasukan Piala Belia Negeri Sembilan pada musim 2020.
Pada musim 2021, Afiq telah dipinjamkan ke Skuad Projek hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Majlis Sukan Negara (FAM - MSN) untuk saingan Liga Premier.
Untuk musim 2022, Afiq didaftarkan dalam pasukan Piala Presiden tetapi diberi peluang berlatih bersama pasukan Liga Super.
Rata-rata penyokong menyatakan keraguan mereka terhadap prestasi Afiq terutama apabila dia kelihatan gugup ketika bertemu TFC, namun ada juga sebahagian yang menyokong tindakan ketua jurulatih, K. Devan yang berani mengambil risiko tersebut.
Tindakan K.Devan menurunkan Afiq pada saingan menentang Selangor FC dikatakan bijak. — Facebook/ NSFC
Nizam Razak menerusi Facebook berkata, biarpun Afiq nampak tidak keruan di atas padang, namun terdapat peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain muda tersebut.
"Jurulatih harus beri banyak peluang untuk dia berlatih. Masuk-masuk dah rupa kambing hilang anak dia, dia punya kalut, tapi lepas dapat dua tiga kali bola orang hantar bola kat dia baru nampak tenang sikit.
"Kemahiran penguasaan bola pun dah tidak macam mula-mula dapat bola. Apapun, buat yang terbaik Jang Mudo," katanya.
Ezward Noranoreal pula beranggapan Afiq memiliki bakat terpendam yang hanya boleh dicungkil sekiranya pemain-pemain ini diberikan cabaran yang setara dengannya.
"Ada bakat. Tapi kena banyak bagi dia pengalamanlah. Bagi minit main banyak sikit. Negeri Sembilan dah lama tidak melahirkan pemain sehebat Zaquan Adha, Aidil Zafuan, S. Kunanlan. Ayuh Jang buktikan," katanya.
Menurut mereka, Afiq tidak perlu gugup kerana pasukan NSFC kini berada di kedudukan lebih baik sekali gus menunjukkan kekuatan pasukannya.
Atas kertas, NSFC dilihat memiliki kelebihan ke atas Selangor FC selain berada di tangga keempat Liga Super dengan 23 mata.
Pasukan Selangor pula berada kedudukan keenam tangga Liga Super dengan keseluruhan 16 mata, namun kekurangan satu perlawanan berbanding NSFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram