Lepas 7 tahun tinggalkan Kedah, baru Ramon Marcote sedar


  • Podium
  • Ahad, 31 Jul 2022

Komen terkini Marcote pada posting bertarikh 15 Julai 2015 mencuit hati peminat KDA FC. — Facebook/ KDA FC

BEKAS ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ramon Marcote sekali lagi mencuit hati para penyokong Skuad Hijau Kuning setelah meninggalkan satu komen pada sebuah muat naik di laman Facebook Kedah FA, pada Sabtu.

Jurulatih berusia 44 tahun berkenaan sebelum ini pernah menimbulkan tanda tanya apabila beliau dilihat memberikan tanda 'like' kepada satu posting mengenai ‘penghijrahannya’ ke Kedah FA di akaun Twitter, Malayantigerfans.

Beliau mengakui terbuka untuk kembali ke Malaysia, namun masih belum terima apa-apa tawaran rasmi dari pihak pengurusan KDA FC.

Kali ini, beliau sekali lagi mengimbau nostalgia lama bersama skuad di utara Malaysia itu apabila meninggalkan satu balasan komen berbunyi, "Setelah tujuh tahun, saya baru nampak gambar ini dan komen anda".

Lebih menarik, muat naik bertarikh 15 Julai 2015 tersebut memaparkan sekeping gambar yang menyaksikan dirinya sedang bermain bola dengan pemain Kedah FA.

Melihat kepada komen tersebut, rata-rata penyokong bola sepak tempatan menyuarakan harapan agar bekas jurulatih dari Sepanyol tersebut untuk kembali ke Malaysia.

Sayf Cap Galore berkata "Kembalilah ke Kedah dan jadi jurulatih untuk Sungai Tiang FC. Mereka akan ke final," katanya.

Mohd Fivesal dan Nizam Syam pula masing-masing berkata: "Inilah satu legend" dan "Steady Coach".

Tangkap layar komen Marcote yang mencuri perhatian ramai.

Sebagai rekod, Marcote mula menabur bakti bersama Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015. Beliau merupakan salah seorang daripada staf kejurulatihan di bawah pimpinan jurulatih Kedah FA ketika itu, Tan Cheng Hoe.

Semasa ketiadaan Cheng Hoe yang menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Marcote pernah diberikan tanggungjawab untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning.

Pada penghujung 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah dan sempat membimbing pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu selama beberapa bulan.

Pada penghujung Mac 2018, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melakukan sedikit perubahan di dalam sistem kejurulatihan mereka menyaksikan Marcote diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

Manakala tugas ketua jurulatih skuad utama Kedah pada masa itu dipangku oleh Nidzam Adzha Yusof.

Marcote kini diberikan amanah sebagai pengurus sebuah kelab di Timur Tengah, Ethnikos Achna FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram