Bangunan maahad tahfiz di Batu Gajah kini dihuni burung, kelawar


  • Tular
  • Ahad, 31 Jul 2022

Binaan bangunan kayu yang cantik di Batu Gajah, Perak kini dihuni burung dan kelawar. — Facebook/Bakhtiar Yusoff

SEBUAH bangunan dengan seni bina Melayu berhampiran Batu Gajah, Perak yang sepatutnya dikatakan menempatkan pelajar tahfiz kini dihuni burung dan kelawar.

Perkara itu didedahkan seorang warganet, Bakhtiar Yusoff menerusi akaun Facebook miliknya yang menemukan tempat itu ketika dalam perjalanan ke pekan Batu Gajah baru-baru ini.

"Dalam perjalanan ke pekan Batu Gajah, di tepi jalan ada bangunan dengan seni bina Melayu.

"Difahamkan bangunan tersebut milik Majlis Agama Islam Perak untuk dijadikan pusat tahfiz. Tapi sudah lama terbiar dan hanya dihuni burung dan kelawar," katanya.

Menurut Bakhtiar lagi, kawasan tersebut ibarat sebesar Muzium Istana Sultan Melaka di Bukit St Paul, Melaka.

Menerusi gambar yang disertakan, bangunan tersebut dilihat sudah siap dibina dan lengkap dengan kelengkapan elektrik seperti kipas, lampu dan sebagainya.

Malah, warganet juga dilihat begitu kecewa melihat bagaimana bangunan secantik itu hanya dibiarkan sepi dan tidak berpenghuni.

Dalam pada itu, pencarian Majoriti tidak menemukan sebarang maklumat berkenaan dengan tujuan bangunan kayu itu dibina.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak majlis perbandaran mahupun kerajaan negeri berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram