KISAH berbeza antara dua penyerang, Darwin Nunez dan Erling Haaland mewarnai pertembungan aksi Perisai Komuniti yang menyaksikan Liverpool menewaskan Manchester City 3-1 di Stadium King Power pada Ahad.
Tatkala Nunez, yang dibeli Liverpool dengan tag harga £85 juta (RM460 juta) berjaya meletakkan nama selaku penjaring pada masa kecederaan, lain pula ceritanya dengan Haaland yang membuat kesilapan besar apabila mensia-siakan peluang keemasan setelah merembat bola melepasi palang dari jarak dekat meskipun gol terbuka luas.
“Orang ramai telah bercakap tentang cara Man City mungkin mengubah permainan mereka dengan kehadiran Haaland, dan satu perkara yang boleh dia boleh lakukan atas padang adalah menyukarkan benteng pertahanan lawan.
"Tetapi dia belum cukup membantu Man City dan pada saya, rakan-rakan sepasukan dilihat tidak memberikan bola yang cukup kepadanya.
"Beri Haaland hantaran bola, jika tidak dia akan kecewa dan tidak akan berlari mengejar bola," kata legenda Liverpool, Stuart Pearce.
Tambah Pearce, tindakan Nunez menanggalkan bajunya dan menunjukkan logo kelab ketika dia meraikan kemenangan Liverpool juga sudah dijangka.
"Memang ia satu kebiasaan buat penyerang baharu ketika menjaringkan gol pertama," jelasnya.
Nunez (kanan) berjaya membuka akaun gol pertama bersama Liverpool — Getty Images
Pada masa sama, Pearce juga bersimpati dengan kegagalan Haaland meledak gol sulung buat Man City.
"Ia bukan satu petanda negatif, cuma Haaland tidak bernasib baik dalam perlawanan ini," kata Pearce.
Haaland (tengah) seakan-akan gagal menepati reputasinya selaku penyerang profilik apabila gagal menjaringkan gol dalam aksi Perisai Komuniti — Getty Images
Dalam pada itu, pengulas sukan talkSPORT, Joe Shennan menyifatkan Nunez sebagai 'permata yang hilang' dari Liverpool.
“Anda boleh katakan Liverpool telah kehilangan penyerang tengah semula jadi selama ini, dan Nunez boleh jadi apa yang mereka cari,” katanya.
Selain Nunez, gol-gol Liverpool dijaringkan oleh Trent Alexander-Arlond dan Mohamed Salah sementara gol saguhati Man City dicetak oleh bintang baharunya, Julian Alvarez. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram