'Jack is back' — Ini rahsia bagaimana nama Hazwan Bakri kembali jadi sebutan


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Hazwan Bakri mempamerkan aksi cemerlang selepas diberi peluang beraksi semula untuk JDT musim ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

MENERUSI perlawanan Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini, ramai yang memuji persembahan penyerang prolifik, Hazwan Bakri.

Kegemilangan Hazwan bukan senario baharu dalam bola sepak negara, pada 2015, dia pernah mendapat anugerah pemain paling bernilai (MVP) dan membantu skuad Selangor FC ketika itu menjuarai Piala Malaysia.

Selepas itu dia menyertai JDT dan berjaya meneruskan kecemerlangan apabila menjaringkan tujuh gol pada musim pertama.

294577862_2348951455268140_3376300064847041623_n

Hazwan Bakri (kanan) mendapat pujian daripada penyokong JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

Namun, disebabkan faktor kecederaan, namanya mula disisihkan dan dia gagal menempatkan dirinya setanding pemain import dan Syafiq Ahmad.

Namun, pada musim ini, namanya mula menyinar selepas diberi peluang untuk beraksi dalam tiga perlawanan bagi menggantikan Bergson yang dilanda kecederaan. Hasilnya, dia menjaringkan dua gol.

Latihan jadi pemangkin keyakinan dan semangat

Jadi, apa rahsia sebenarnya Hazwan dapat kembali menempatkan dirinya antara pemain yang digeruni?

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Don K-Rul Izham, kualiti dalam sesi latihan yang diterapkan oleh JDT bukan sahaja mengekalkan aksi konsisten pemain utama, malah mengembalikan keyakinan pemain terpinggir bagi mendapatkan prestasi mereka.

"Walaupun kita sendiri tak pasti bagaimana sesi latihan mereka dilakukan tapi apa yang pasti ia mengenai latihan pada intensiti tinggi.

294944684_2348951508601468_1046284321229314722_n

Hazwan Bakri (kanan) bersama rakannya di JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

"Banyak kelab-kelab di Eropah melakukan latihan dalam intensiti tinggi. Contohnya, Antonio Conte, dia memang sedikit brutal dalam sesi latihan. Bayangkan dari aspek kedudukan badan, pergerakan kaki pun dia pantau. Sesi latihan boleh mencecah empat jam jika dia tidak berpuas hati," katanya.

Jelasnya, perkara sama berlaku pada Hazwan ketika sesi latihan yang memberikan dia keyakinan untuk turun beraksi selain keinginan untuk bermain dan bukan sekadar menanti peluang ihsan daripada jurulatih semata-mata.

Ujarnya, seorang pemain tak akan mengambil masa lama untuk mendapat prestasi yang diinginkan jika dalam diri mereka memiliki keyakinan, keinginan tahap tinggi.

"Begitu juga pemain lain seperti Akhyar (Rashid), Syamer (Kutty Abba) juga boleh bermain baik ketika mewakili negara walaupun jarang-jarang bermain dalam perlawanan rasmi. Kuncinya latihan pada tahap tinggi dan keinginan mereka untuk mengekalkan tahap kualiti yang ada," katanya.

Kehadiran Hazwan beri sinar untuk Harimau Malaya

Kemunculan semula Hazwan sebenarnya menurut Don K-Rul Izham, bukan sekadar positif buat JDT sahaja, sebaliknya untuk Malaysia juga.

294079978_2345946178902001_3632184377321722788_n

Prestasi semasa Hazwan Bakri memberi peluang cerah kepada skuad kebangsaan. — Facebook/Johor Southern Tigers

"Untuk JDT, mereka tak terlalu terdesak sangat sebab memiliki ramai pemain di posisi Hazwan ni cuma bagusnya dia memberi pilihan lebih besar untuk kelab.

"Untuk Malaysia, Hazwan ini orang tahu kualiti dia boleh memberikan persaingan kepada Darren Lok dan Syafiq untuk skuad kebangsaan.

"Dia seperti Syafiq, memerlukan sedikit peluang, masa untuk mereka kembali dengan sentuhan yang ada pada mereka. Pintu pasukan Malaysia sentiasa terbuka.

"Sebagai peminat bola sepak, kita gembira dengan kemunculan semula dia. Jack (nama panggilan Hazwan) is back," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram