PROSES peralihan yang bakal dialami skuad Johor Darul Takzim (JDT) ketika ini bukanlah peluang keemasan buat Sabah FC untuk memintas pasukan itu di persada Liga Super musim ini.
Biarpun dengan hanya perbezaan empat mata dan beraksi lebih satu perlawanan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee masih perlu bekerja keras sekiranya mahu mencipta sejarah merampas takhta kejuaraan dari JDT yang berada dalam trek yang betul bagi memburu kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut musim ini.
Menurut penganalisis sukan, Asan Ahmad, penamatan kontrak bekas jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora dilihat tidak akan menggoyahkan kedudukan pasukan tersebut.
Malah jelas beliau, pendekatan taktikal 4-3-3 yang digunakan ketika ketiadaan Mora di tepi padang dalam beberapa perlawanan lalu sudah jelas menunjukkan pasukan itu sudah mula bersedia untuk beradaptasi dengan cara jurulatih baharu JDT, Hector Bidoglio.
"Pertukaran jurulatih dalam pasukan JDT bukanlah peluang terbaik buat Sabah untuk pintas JDT. Sabah harus kekalkan rentak untuk teruskan prestasi.
TMJ merupakan mastermind sebenar di belakang JDT, bukan Mora. — Facebook/ JOHOR Southern Tigers
"Ong Kim Swee perlu bijak mencatur permainan tanpa memikirkan apa yang berlaku dalam JDT. JDT kuat bukan sebab Mora, tapi sebab mastermind dia, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Ini memang dah budaya JDT, sentiasa mahukan perubahan. Bila prestasi sudah kurang memberangsangkan, mereka akan rombak kembali skuad tersebut.
"Mereka dah ada perancangan untuk mengekalkan rentak kemenangan. Saya boleh katakan, JDT adalah satu kelab yang sanggup berbelanja besar," katanya kepada Majoriti.
Senada dengan Asan, seorang lagi penganalisis sukan, Dr. Pekan Ramli turut berasakan kestabilan JDT tidak akan goyah, maka Sabah FC sama sekali tidak dibentangkan dengan jalan mudah sekiranya mahu bergelar juara Liga Super musim ini.
Hector Bidoglio dilantik sebagai jurulatih baharu JDT berkuatkuasa serta-merta. — Facebook/Johor Southern Tigers
"JDT sudah ada para pemain yang stabil dan berkualiti. Setakat tukar jurulatih tidak akan menganggu kestabilan pasukan. Perubahan telahpun berlaku secara kita sedar atau tidak.
"Kalau ada masalah dalaman dalam kalangan pemain, barulah mereka akan goyah dan ketika itu, barulah peluang untuk Sabah untuk memintas itu dikatakan mudah.
"JDT akan goyah sekiranya pemain tidak dapat serasi dengan formasi baharu atau jurulatih baharu. Tapi, pemain JDT sudah diiktiraf berkualiti," jelasnya.
Sebagai rekod, Mora telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang bergelar jurulatih JDT sejak 2017 dan memenangi 102 perlawanan sebelum posisinya diambil alih oleh Bidoglio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram