Lama duduk 'bench' pun 'score', ini 3 pemain bukan sekadar panaskan bangku simpanan


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Jika Syahmi (jersi cerah) terus diberi kepercayaan oleh pengendali baharu JDT, dia perlu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang ada. — Facebook/JDT

DALAM bola sepak, bukan semua pemain mendapat kepercayaan jurulatih beraksi dalam skuad utama lebih-lebih lagi membabitkan perlawanan penting.

Situasi ini menyaksikan ada pemain yang tidak terpilih dalam skuad selain sekadar duduk di kerusi simpanan. Apabila pemain tidak digunakan secara total 90 minit oleh jurulatih, mereka akan kekurangan minit permainan sekali gus menyebabkan prestasi dan kecergasan menurun.

Bagaimanapun ada antara mereka yang mencipta kejutan dengan mencetak gol berharga kepada pasukan selepas membuat penampilan dalam kesebelasan utama.

Berikut ialah tiga pemain yang berhasil meledak gol di sebalik kekurangan minit permainan dalam saingan Liga Super musim ini.

294882472_7723076021098169_3970688913676111240_n

Aiman berhasil menghadiahkan satu gol buat Sang Kenari ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC. — Facebook

1) Aiman Afif

Pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC ini tidak berada dalam skuad sejak aksi Liga Super bermula 4 Mac lalu. Berdasarkan data transfermarkt.com, Aiman diturunkan sebagai pemain simpanan ketika aksi menentang Terengganu dan Sarawak United masing-masing pada 15 dan 19 Julai lalu.

Hanya pada 27 Julai lepas, Aiman buat pertama kali dimasukkan dalam skuad utama ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC.

Bermain selama 70 minit setakat ini, Aiman berhasil menghadiahkan satu gol buat Sang Kenari menerusi satu tandukan sebelum skuad The City Boys meledak dua gol kemenangan melalui sepakan penalti.

294577862_2348951455268140_3376300064847041623_n

Hazwan cukup konsisten dalam permainannya akhir-akhir ini. — Facebook

2) Ahmad Hazwan Bakri

Penyerang Johor Darul Takzim (JDT) ini menjadi tumpuan apabila meneruskan momentumnya selepas meledak dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut ketika membantu pasukan itu menang besar ke atas Sarawak United dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

Hazwan, 31, sebelum ini lebih banyak beraksi untuk pasukan JDT II juga menyumbat satu gol dalam perlawanan Piala FA menentang Melaka United pada Sabtu lalu.

Tidak mengecewakan jurulatih kecergasan, Jorge Alvarez yang menggantikan bekas pengendali JDT, Benjamin Mora semasa 'kehilangannya', bekas penyerang skuad kebangsaan itu pantas mengumpul dua gol biarpun baru mengutip 72 minit masa permainan setakat ini.

296152675_2348987168597902_7657249802514746547_n

Syahmi membuktikan dia masih berbisa untuk mencetak gol. — Facebook

3) Muhammad Syahmi Safari

Syahmi juga antara pemain JDT yang tidak mengecewakan. Mengumpul 157 minit permainan setakat ini melalui tiga pelawanan dalam saingan Liga Super, Syahmi membuktikan dia masih berbisa untuk mencetak gol meskipun beraksi di posisi pertahanan.

Bahkan jaringan yang dibuat ketika aksi menentang Sarawak United baru-baru ini disifatkan cukup cantik kerana dia seolah-olah boleh membaca 'vision' Fernando Forestiere yang membuat hantaran jauh sebelum bola itu ditampan dan disepak masuk ke gawang gol.

Jika Syahmi terus diberi kepercayaan oleh pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio, pemain muda berusia 24 tahun itu perlu memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang ada demi masa depan kerjaya bola sepaknya.

Penyokong JDT juga mahu Syahmi menjadikan kejayaannya meraih Gol Terbaik Piala Suzuki AFF 2019 sebelum ini sebagai penyuntik semangat buatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram