Komanwel: Skuad badminton campuran negara bermula garang


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Aksi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik di Sukan Komanwel Birmingham 2022. — Bernama

MUDAH. Pasukan badminton campuran negara memulakan kempen mereka di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan sempurna, apabila dengan mudah membenam Zambia, 5-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D mereka, di Birmingham, United Kingdom pada Jumaat.

Kesemua pemain Malaysia tidak berhadapan tentangan hebat, kerana pasukan dari benua Afrika itu ternyata bukan lawan mereka pada perlawanan berlangsung di The National Exhibition Centre, Birmingham.

Pemain beregu campuran profesional negara, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing memberikan mata pertama Malaysia selepas dengan mudah mengalahkan pasangan Kalombo Mulenga-Ogar Siamupangila, 21-6 dan 21-3.

Pemain perseorangan utama pasukan kebangsaan, Ng Tze Yong kemudiannya memberikan mata kedua dengan mengatasi Chongo Mulenga, 21-8 dan 21-8.

Pemain persendirian perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pula bermain tanpa sebarang tekanan apabila Elizabeth Chipleme yang melakukan kesilapan mudah, membantu pemain dari Pulau Pinang itu memberikan Malaysia mata ketiga dengan menang 21-1 dan 21-2.

Pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah, juga tidak berhadapan masalah untuk menyumbang dua lagi mata untuk Malaysia.

Aaron-Wooi Yik menewaskan Chongo Mulenga-Kalombo Mulenga, 21-13, 21-9, manakala Pearly-Thinaah menewaskan Elizabeth Chipeleme-Ogad Siamupangila, 21-3 dan 21-5.

Tze Yong yang ditemui selepas perlawanan itu berkata, dia masih perlu memberbaiki permainannya terutamanya dalam mengawal permainan untuk perlawanan seterusnya.

"Masih tidak dapat feel lagi dan pergerakan bola agak perlahan," katanya.

Malaysia, yang buat kali terakhir memenangi pingat emas di Glasgow 2014, berpeluang untuk menempah tempat ke suku akhir lebih awal, apabila dijadualkan bertemu Jamaica pukul 7 petang (2 pagi waktu Malaysia).

Pasukan kebangsaan itu akan melengkapkan perlawanan Kumpulan D, dengan bertemu Afrika Selatan, pada Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram