Syak curang, suami tak mengaku salah terajang muka isteri


Danial Dallas (tengah) tidak mengaku salah atas tuduhan menendang muka isterinya ketika di Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat. — Sinar Harian

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, pada Jumaat terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal Julai lalu.

Danial Dallas Abdullah, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret, Nabiha Mohd Noor.

Difahamkan, tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua orang cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, Melaka pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram