Aksi 'berani mati' 3 budak panjat lori tangki di Sabah


  • Tular
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Tangkap layar yang memaparkan tiga orang kanak-kanak terbabit sedang berpaut di belakang tangki lori minyak.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan tiga orang kanak-kanak memanjat dan berpaut pada belakang lori tangki minyak yang sedang bergerak.

Kejadian yang menimbulkan banyak tanda tanya tentang siapa identiti tiga orang kanak-kanak itu dipercayai berlaku di Jalan Bubul, Semporna, Sabah.

Dalam video berdurasi 1 minit 25 saat yang dirakam menerusi dashcam (kamera papan pemuka) tersebut menunjukkan sebuah tangki minyak keluar dari stesen minyak.

Namun, secara tiba-tiba, kelibat tiga orang kanak-kanak tiba-tiba muncul di pertengahan jalan lalu memanjat belakang lori tangki berkenaan yang sedang bergerak perlahan.

Tanpa pengetahuan pemandu lori tangki, kanak-kanak yang berbaju putih, merah dan hijau itu duduk santai sambil berpaut pada belakang lori.

Risau dengan keselamatan mereka, pemilik kenderaan yang tidak diketahui identitinya kemudian bertindak memotong lori tangki berkenaan untuk memaklumkan pada pemandu lori berkenaan mengenai kehadiran tiga kanak-kanak tersebut.

"Abang, ada budak-budak kat belakang bang, suruh diorang (mereka) turun," tegurnya sambil membunyikan hon sebagai isyarat.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kanak-kanak, panjat, lori, tangki, minyak, Petronas, bergerak,