KARNIVAL SWCorp Bersamamu bakal meningkatkan pembudayaan kebersihan untuk membawa masyarakat secara bersama bagi mencapai visi Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, matlamat utama Karnival SWCorp Bersamamu adalah untuk menyampaikan kesedaran terhadap pengurusan sisa pepejal negara.
Karnival itu, menurutnya adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan sejahtera seperti mana-mana negara maju lain.
"Karnival SWCorp Bersamamu yang akan diadakan pada hujung minggu ini bertempat di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur terbuka untuk semua lapisan umur," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke Suria FM di Menara Star, Petaling Jaya, Jumaat.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik juga akan diadakan sepanjang berlansungnya karnival berkenaan.
Pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik di Karnival SWCorp Bersamamu
"Antara aktiviti menarik yang akan diadakan adalah seperti pertandingan melukis, bola sepak, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, solat Isyak berjemaah dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, ada syarat khas ditetapkan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai karnival itu.
Jelas Ismail, peserta perlu membawa membawa sampah dari rumah seperti surat khabar, plastik, botol plastik terpakai, tin dan sebagainya untuk dijadikan sebagai tiket penyertaan.
"Dalam masa sama peserta boleh menyertai pelbagai aktiviti pertandingan yang telah kita susun. Kita telah menyediakan peruntukan hadiah yang nilainya sebanyak RM224,000 untuk direbut oleh pengunjung," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram