Ada kesan jerut di leher, ibu disyaki bunuh anak perempuan di Yong Peng


  • 112
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Lokasi kanak-kanak berusia 11 tahun yang ditemukan maut di Yong Peng, Johor. — Bernama

SEORANG kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemukan mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Johor pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdapat kesan luka di bahagian dahi dan kesan jerut pada leher mangsa.

"Siasatan awal kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.55 petang.

"Keterangan saksi-saksi telah diambil untuk mendapatkan fakta kejadian sebenar," katanya.

Kamarul Zaman berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, Johor untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 34 tahun telah ditahan berikutan terdapat kenyataan diberikan wanita itu tidak konsisten dengan kenyataan saksi-saksi lain.

"Ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut. Suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Batu Pahat, Johor dan dibenarkan untuk direman selama tujuh hari sehingga 21 Julai depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram