Syazwan Zainon masih cergas untuk beraksi bersama Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Mohd Syazwan disahkan masih cergas untuk beraksi bersama pasukan KDA FC. — Facebook/KDA FC

KETUA pasukan KDA FC, Mohd Syazwan Zainon disahkan masih cergas dan bersedia untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan di saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim 2022.

Pengurusan KDA FC dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Mohd Syazwan tidak menghidap penyakit kanser dan telah pulih dari jangkitan kuman paru-paru April lepas.

"Tajuk-tajuk yang dikeluarkan oleh media tempatan dan media sosial adalah satu tafsiran salah faham dari temu bual Mohd Syazwan Zainon bersama Astro Arena.

"Salah faham berlaku apabila Mohd Syazwan hanya berkongsi pengalaman ketika dirinya dalam tempoh rawatan pada bulan puasa lepas, yang menjadi persoalan temu bual tersebut," kata kenyataan itu.

293860169_465698422058180_8675769846951339960_n

Mohd Syazwan masih kekal menjadi kapten untuk KDA FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Menurutnya, pemain sayap itu mula berlatih penuh dengan pasukan selepas Aidilfitri pada awal Mei lalu dan seterusnya membantu Sang Kenari muncul juara Kumpulan G, Piala AFC di Denpasar Bali.

Jelasnya, tiada isu berbangkit mengenai tahap kesihatan pemain berusia 21 tahun itu ketika ini dan Mohd Syazwan juga terus komited untuk membantu pasukan Sang Kenari mencipta kemenangan dalam saingan Liga Malaysia dan Piala AFC.

Dalam pada itu, KDA FC turut berharap supaya portal sukan dan warganet supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi berita dari sumber kedua untuk mengelakkan salah faham dalam perkembangan serta prestasi semasa pemain.

Terdahulu, tular dia media sosial berkenaan satu temu bual di mana Mohd Syazwan disahkan menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru.

Menerusi temu bual itu juga, Mohd Syazwan memberi bayangan bahawa penyakit itu akan membawanya untuk bersara dari dunia sukan bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram