PERBEZAAN kedudukan bukan penghalang buat Penang FC membawa misi untuk memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan menentang Selangor FC bagi aksi Liga Super yang bakal berlangsung pada Sabtu.
Pasukan Harimau Kumbang itu kini menghuni tangga terbawah dalam saingan Liga Super dengan tujuh mata sahaja manakala pasukan Gergasi Merah mengumpul 12 mata di tempat ketujuh.
Ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan berkata, kejayaan menang ke atas Terengganu FC boleh diulangi jika anak-anak buahnya sentiasa bersedia dan berhati-hati bermain di laman tuan rumah.
Menurutnya, disiplin yang tinggi perlu berada dalam diri pemain agar dapat mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.
"Cita-cita memang tinggi nak menang tapi paling penting pemain jangan buat kesilapanlah di laman tuan rumah.
"Penang kena lebih berdisiplin kerana serangan-serangan Selangor berkesan. Caion, Hyuri dan Brendan Gan yang perlu diawasi.
"Kami akan bermain dengan semangat juang yang tinggi Penang perlu berhati-hati dan bersedia sebagaimana menentang Terengganu," katanya kepada Majoriti.
Malah, Zainal Abidin juga percaya gandingan tonggak Penang FC, Hilal Bassam El-Helwe dan Endrick Santos sangat membantu untuk Harimau Kumbang mendapat tiga mata.
Zainal Abidin yakin dengan barisan kebelasan utama yang akan diturunkan menentang Selangor FC malam ini. — Penang FC
Berbicara mengenai prestasi pemain baharu Penang FC, Zainal Abidin sangat mengagumi kegigihan mereka kerana menerusi Kejohanan Bolasepak Kelab Antarabangsa Piala TYT 2022, kesemuanya berjaya menunjukkan kehebatan masing-masing.
Penyerang import, Lucas Silva, pemain pertahanan, Muhammad Gopi Rizqi dan Faizal Talib merupakan pemain baharu Penang FC pada jendela perpindahan kedua musim ini.
"Persiapan berjalan lancar dengan kemasukan bebeapa pemain baharu. Kita dapat meneliti kehebatan mereka pada piala TYT. Mereka berjaya menerapkan diri dengan begitu baik dalam kesebelasan utama.
"Hilal dan Endrick pasti akan menjadi kesebelasan utama kerana gandingan mereka sejak kebelakangan ini sangat menjadi.
"Di bahagian pertahanan, Vitor dan Khairul Akmal sususlan prestasi baik pada piala TYT dan Liga Super sebelum ini. Kesebelasan utama kali ini ada perubahan. Insya-ALLAH barisan kesebelasan yg bakal diturunkan boleh kalahkan selangor," jelasnya.
Menjelang perlawanan yang diadakan Stadium Petaling Jaya (MBPJ) itu, Zainal Abidin menyeru agar pemain ke-12 yakni penyokong Penang FC akan turun memberikan semangat dan sokongan kepada anak-anak buahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram