Ajal ketika berjalan ke rumah sepupu, Penolong Pengarah JPN maut terseret 29 meter


  • 112
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Keadaan kereta yang melanggar mangsa yang berjalan kaki sehingga maut. — Sinar Harian

PENOLONG Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan maut akibat diseret sejauh 29 meter oleh sebuah kereta ketika berjalan kaki di tepi Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh di Padang Kala, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Mangsa, Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, 45, meninggal dunia dalam kemalangan pada pukul 11.30 pagi hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Kota Bharu memaklumkan seorang pejalan kaki lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa berjalan kaki dari Sekolah Kebangsaan Padang Kala menghala ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan.

1838078

Kawasan mangsa berjalan kaki di kiri jalan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kota Bharu. — Ihsan PDRM

“Menurut keterangan saksi yang melihat kejadian itu, mangsa berjalan di bahu jalan dari Peringat menghala ke Melor.

“Kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah belakang mangsa yang dipandu oleh lelaki termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Nik Mohd Hissham berkata, akibat rempuhan itu, mangsa terseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kereta yang merempuh mangsa itu dipandu oleh seorang pemuda yang berusia 25 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 24 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram