Asyik bergaduh sejak 2 bulan lalu, akhirnya anak saksi ibu pukul bapa hingga mati di Flat Nipah


  • 112
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Polis membawa mayat mangsa bunuh dipercayai dipukul isteri dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya pada Jumaat. — Bernama

SEORANG lelaki ditemui mati dipercayai dipukul isterinya di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru, awal pagi Jumaat.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa, Lee Ming How, 44, ditemukan dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.50 pagi di kediaman keluarga mangsa yang turut dihuni isteri serta anak-anaknya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul isterinya berusia 35 tahun hingga menyebabkan kematian.

"Anak mangsa yang berada di rumah berkenaan menjadi saksi utama kejadian itu. Polis masih menyiasat motif kejadian dan sama ada suspek menggunakan senjata.

"Suspek iaitu isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut memohon perintah reman," katanya.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

293637163_3418819051765212_8827890811204350703_n

Polis membawa mayat mangsa bunuh dipercayai dipukul isteri dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya pada Jumaat. — Bernama

Sementara itu, seorang jiran mangsa hanya dikenali sebagai Seri, 25 mendakwa dia kerap mendengar bunyi bising dari kediaman mangsa sejak dua bulan lalu.

Dia bagaimanapun kurang pasti sama ada keluarga berkenaan berdepan masalah.

"Mungkin mereka berselisih faham hingga saya terdengar bunyi seperti pintu dihempas dengan kuat, kerusi diheret dan sebagainya.

"Namun kami tidak sangka ia berakhir dengan tragedi dan ada jiran memaklumkan kaki mangsa juga diikat serta memiliki kesan lebam di tubuh.

"Difahamkan pasangan berkenaan memiliki dua anak berusia dua dan 11 tahun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram