SELEPAS Dennis Buschening tidak dapat menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC akibat kecederaan Tendon Achiles, pasukan itu kini bakal kehilangan seorang lagi pemain lincah yang menghidap masalah kesihatan.
Perkara itu didedahkan oleh kaptennya, Mohd Syazwan Zainon selepas disahkan menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru.
Menerusi program Nadi Arena yang disiarkan di Astro Arena pada Khamis, Mohd Shazwan memberi bayangan bahawa penyakit itu akan membawanya untuk bersara dari dunia sukan bola sepak.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, ketiadaan Mohd Syazwan sejak April lalu akhirnya terungkai, selepas pemain itu menjelaskan, beliau terkena jangkitan kuman pada paru-paru sebelum hari raya Aidilfitri.
Mohd Syazwan, antara pemain utama yang mempamerkan aksi cemerlang pada awal saingan Liga Super sehingga membantu KDA FC berada di kedudukan lima teratas liga.
Selain itu, kapten Kedah itu juga membantu pasukannya mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC baru-baru ini.
KDA FC kini menduduki tangga keempat dalam saingan Liga Super selepas sembilan perlawanan.
Pemain berusia 21 itu menyertai Kedah pada 2013 sebelum berhijrah ke Selangor pada 2017 dan kembali semula menyarung jersi Hijau Kuning pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram