Sekian lama menyepi, Cheng Hoe akhirnya buka mulut dikait kembali 'beraksi'


  • Podium
  • Khamis, 14 Jul 2022

TCH adalah salah satu jurulatih terbaik dalam negara ketika ini. — Facebook FAM

DARI pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC ke skuad muda kebangsaan, nama bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ataupun lebih mesra dipanggil sebagai TCH sering menjadi buruan beberapa kelab dan terbaharu beliau difahamkan bakal mengemudi sebuah lagi kelab yang berlokasi di Lembah Klang.

Pasukan seperti Petaling Jaya (PJ) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Selangor FC menjadi kumpulan yang dikaitkan dengan Cheng Hoe selepas ura-ura beliau bakal kembali di Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebelum ini, Cheng Hoe memilih untuk berehat seketika dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dalam negara susulan kegagalan pasukan Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF Suzuki awal tahun ini.

Selangor FC merupakan pasukan yang paling ramai disebut oleh penyokong di media sosial berikutan kualiti pasukan gergasi Merah di bawah Ketua Jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner semakin merudum terutamanya pada saingan Liga Super.

Bagaimanapun, khabar angin yang mengaitkan jurulatih berusia 54 tahun dengan skuad Selangor ataupun pasukan lain Lembah Klang dinafikan oleh Cheng Hoe dan baginya ia hanyalah rumousr.

"Perkara itu tidak sahih pun. Rumour sahaja. Sekarang ini saya hanya berehat dan meluangkan masa dengan keluarga," katanya kepada Majoriti.

Malah, Cheng Hoe juga berkata, beliau tidak mempunyai lagi perancangan untuk melatih pasukan bola sepak dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan membuat keputusan itu jika ada skuad yang serius ingin menggunakan khidmatnya.

"Dalam masa terdekat pun saya tiada perancangan apa-apa. Kalau ada yang betul-betul serius saya akan fikirkan untuk latih tapi setakat ini tiada lagi," jelasnya.

cheng hoe kedah

TCH sewaktu mengemudi KDA FC. — Agensi

Terdahulu, Cheng Hoe juga menjawab spekulasi mengenai akan melatih semula pasukan Sang Kenari melihat kelibatnya bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kedah.

Menurutnya, kehadirannya bersama Muhammad Sanusia hanyalah untuk menunaikan ajakan rakannya bagi turun bermain bola.

tch 3

Cheng Hoe bersama rakann-rakannya termasuk Muhammad Sanusi pada perlawanan bola itu.

Nama Cheng Hoe sering diseru kerana pasukan yang dikemudinya akan menerima banyak manfaat khususnya dari segi corak permainan dan tidak dinafikan beliau adalah salah satu jurulatih terbaik dalam negara ketika ini.

Kali terakhir Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2017 sebelum diserap masuk dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Pada musim 2017, Kedah berjaya memenangi Piala Sumbangsih yang mana mereka menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram