Masih berteka-teki, TCH bakal kemudi skuad Lembah Klang?


  • Podium
  • Khamis, 14 Jul 2022

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2017. — Facebook FAM

BEKAS ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe ataupun dikenali sebagai TCH itu dikhabarkan bakal membuat kemunculan kembali untuk menguruskan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selepas digantikan dengan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon susulan kegagalan pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki awal tahun ini, Cheng Hoe memilih untuk berehat seketika dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dalam negara.

Memetik dari laman VocketFC, beredar khabar angin yang mengatakan pasukan yang dikaitkan dengan jurulatih itu ialah pasukan dari Lembah Klang.

Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui secara spesifik pasukan mana yang bakal mendapatkan khidmat jurulatih itu.

Untuk rekod, kali terakhir Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2017 sebelum diserap masuk dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Pada musim 2017, Kedah berjaya memenangi Piala Sumbangsih yang mana mereka menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Mana-mana pasukan yang mengambil khidmat jurulatih berusia 54 tahun itu bakal menerima banyak manfaat khususnya dari segi corak permainan kerana beliau dianggap salah satu jurulatih terbaik dalam negara ketika ini. — VocketFC

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram