'Kembali ke Kedah?' Dennis fokus dulu hal lebih penting


  • Podium
  • Jumaat, 15 Jul 2022

Dennis akhirnya meninggalkan Kedah ekoran kecederaan yang dialaminya.

JODOH penyerang import, Dennis Buschening bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah berakhir apabila pemain kelahiran Jerman itu sendiri mengesahkan nasibnya.

Dengan masalah kecederaan yang dialaminya, Buschening terpaksa akur bahawa khidmatnya bersama Sang Kenari tidak lagi diperlukan kerana dia memerlukan tempoh yang lama untuk kembali pulih dan cergas.

Dalam satu mesej panjang kepada peminat, pemain berusia 31 tahun itu mengakui detik sukar yang terpaksa dilalui meninggalkan pasukan dan penyokong Kedah yang dianggapnya sebagai sebuah keluarga.

"Itulah kehidupan dan saya perlu maju ke hadapan.

"Tolong penuhi permintaan saya dan teruskan usaha untuk semua perlawanan dan semua sesi latihan sama seperti Piala AFC.

"Anda akan kembali ke landasan tidak lama lagi untuk kali kedua," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut sama ada dia sedia kembali bersama Kedah pada musim depan, Buschening memilih untuk menjawab dengan selamat.

"Saya belum terfikir lagi. Mahu fokus proses pemulihan. Pastinya akan kembali beraksi musim depan," katanya ringkas kepada Majoriti.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Dennis berkata, kecederaan Tendon Achiles yang memerlukan pembedahan itu merupakan punca dia tidak dapat berjuang bersama skuad Sang Kenari, sekali gus mengambil keputusan berpisah dengan kelab utara itu.

Pemain tersebut memulakan kerjaya bola sepak remajanya di Borussia Dortmund, sebelum beraksi dengan beberapa kelab di Liga German.

Dennis bukan lagi asing dalam kancah Liga Malaysia kerana pernah bersama skuad Sabah pada musim 2020, sebelum menyertai skuad UiTM FC pada musim lalu dan pada tahun 2022 memilih untuk bersama KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram