SELEPAS heboh diperkatakan bahawa Saddil Ramdani bakal meninggalkan pasukan Sabah FC musim depan, penyokong The Rhinos tertanya-tanya siapakah yang bakal mengisi kekosongan posisi sayap kiri yang ditinggalkan pemain import dari Indonesia itu.
Menurut laporan Indosport, Saddil menerima tawaran untuk menyertai sebuah kelab dari Eropah, Dinamo Minsk selepas musim ini berakhir.
Ejen pemain tersebut, Alex Talpes mendedahkan kelab dari Belarus itu menawarkan kontrak dengan gaji yang cukup lumayan serta peluang beraksi dalam saingan Liga Eropah.
Bagaimanapun, pemain yang berusia 23 tahun itu perlu menunggu sehingga kontraknya bersama Sabah FC berakhir sebelum berhijrah ke Eropah.
Difahamkan, Saddil masih mempunyai kontrak bersama Sabah FC yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee sehingga November 2022.
Jika benar Saddil bakal meninggalkan Negeri Di Bawah Bayu, ini tiga pemain yang dirasakan boleh menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain lincah yang popular dengan gelaran 'Gocekan Pecel Lele' itu.
Akhyar mempunyai tahap kelincahan yang hampir sama dengan Saddil. — Facebook
1) Akhyar Rashid
Pemain sayap kiri skuad Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid dirasakan sesuai menggantikan Saddil memandangkan dia mempunyai tahap kelincahan dan intensiti tinggi yang hampir sama dengan pemain Indonesia itu.
Pemain berusia 23 tahun itu kurang beraksi pada musim ini dan hanya baru diturunkan sekali dengan mengumpul tujuh minit masa permainan dalam kejohanan Liga Super setakat ini.
Untuk membuktikan dirinya masih relevan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, pemain yang berasal dari Kedah itu perlu mengumpul lebih banyak masa perlawanan dan dalam hal ini, Sabah FC boleh mendapatkan khidmatnya bagi musim depan.
Syukri dilihat mampu kembali mencipta nama bersama Sabah di bawah kendalian Kim Swee. — Facebook
2) Syukri Baharun
Pemain yang pernah menyarung jersi Sabah FC ini dirasakan boleh kembali semula dengan skuad The Rhinos selepas menimba pengalaman di Melaka United FC pada musim ini.
Anak jati Sabah yang berasal dari Kunak itu beraksi lebih cemerlang bersama skuad Hang Tuah hingga meraih gelaran Man of the Match ketika berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada 18 Jun lalu.
Apa yang pasti, pemain muda yang pernah dinaikkan pangkat ke skuad utama Sang Badak oleh ketua jurulatih ketika itu, Kurniawan Dwi Yulianto, dilihat mampu kembali mencipta nama bersama Sabah di bawah kendalian Kim Swee.
Bordin dirasakan boleh mengisi kuota Saddil sebagai pemain import kouta Asean di Malaysia. — Facebook
3) Bordin Phala
Pemain yang kini beraksi dalam Liga Thailand bersama kelab Port FC ini tidak dinafikan mempunyai skil yang cukup baik dengan larian pantas sama seperti Saddil.
Dalam hal ini juga, penyokong Sabah turut merasakan pemain berusia 27 tahun itu boleh mengisi kuota Saddil sebagai pemain import kouta Asean dalam Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram