JDT harus waspada, rantai kelibat 3 bintang The Rhinos habis-habisan


  • Podium
  • Khamis, 14 Jul 2022

Sabah pastinya mengharapkan sorakan 'pemain ke-12' bagi memadam cabaran JDT. — Facebook/Sabah FC

KELAB Borneo, Sabah FC pernah mencetuskan fenomena apabila menerajui takhta Liga Super buat seketika dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada Jun lalu, sekali gus memintas penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT).

Bagaimanapun, kedudukan di persada liga tersebut tidak kekal lama apabila skuad Harimau Selatan kembali merampas semula takhta peneraju liga selepas membelasah Selangor FC 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada minggu berikutnya.

Tiket perlawanan aksi Liga Super Sabah bertemu JDT di Stadium Likas, Sabah pada 15 Julai itu dikhabarkan sudah habis dijual.

JDT yang sedang berada di puncak liga akan bertandang ke Stadium Likas pada Jumaat seharusnya bersiap sedia untuk menghadapi sorakan pemain ke-12 Sabah apabila lebih 30,000 ribu penonton dijangka bakal membanjiri stadium bagi menyaksikan pertembungan yang penuh dramatik ini.

Pada musim ini, skuad Sang Badak mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee serta berjaya menghimpunkan pemain yang pernah bersama dengannya ketika dalam skuad kebangsaan sebelum ini.

Gabungan pemain baharu mahupun yang berpengalaman merupakan antara kunci kejayaan Sabah bagi meneruskan rentak cemerlang mereka pada musim ini.

Ini merupakan kelibat 3 pemain JDT harus berwaspada jika mahu mengekalkan takhta liga:

Badd

Baddrol menggunakan sepenuh pengalamannya untuk merencana gerakan serangan dengan mengalirkan bola ke hadapan bagi membuka peluang rakan sepasukan menghasilkan gol. Facebook Sabah FC

1. Baddrol Bakhtiar

Kapten Sabah FC ini menjadi nadi utama pasukan dan sudah pun bermain 10 perlawanan dengan tiga jaringan yang dapat dihasilkan oleh bekas bintang Kedah ini.

Mengetuai jentera tengah Sabah FC, Baddrol menggunakan sepenuh pengalamannya untuk merencana gerakan serangan dengan mengalirkan bola ke hadapan bagi membuka peluang rakan sepasukan menghasilkan gol, selain kerap turun ke bawah untuk menyekat serangan dari pasukan lawan.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, Baddrol masih mampu menghasilkan jaringan yang cantik, antaranya ialah jaringan akrobatik ketika menewaskan Sarawak United FC pada Mei yang lalu.

Baddrol juga antara pemain yang mampu meledakkan gol dengan tendangan deras di luar kawasan kotak penalti.

SABAH-FC2-75d9fz8afyfk1eecafmqie0yb5kr8ceubkipntlyifs

Pemain berusia 26 tahun ini berjaya menghasilkan satu gol dan dua assist untuk pasukan Sabah. Agensi

2. Taiki Kagayama

Biarpun pemain import berasal Jepun ini tidak setanding dengan kualiti penyerang JDT seperti Bergson ataupun Forestieri, namun kemasukan pemain ini ternyata mendatangkan impak positif kepada pasukan Sabah FC.

Bermain di belakang penyerang utama dan diberikan peranan free-role oleh Ong Kim Swee, pemain berusia 26 tahun ini berjaya menghasilkan satu gol dan dua assist untuk pasukan Sabah.

Kagayama sering bergandingan bersama Baddrol Bakhtiar pada setiap perlawanan dan keserasian mereka jelas mendatangkan kelancaran taktikal pasukan yang diterapkan oleh jurulatih mereka untuk mendapatkan kemenangan yang seterusnya.

Pemain tengah ini banyak menghabiskan kariernya di negara eropah, Finland dengan menyertai beberapa pasukan di negara tersebut sebelum memilih untuk meneruskan kerjayanya bersama pasukan Sabah.

Saddil

Saddil sentiasa mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang boleh membuka peluang kepada rakan untuk menjaringkan gol. Facebook Sabah FC

3. Saddil Ramdani

Penyerang sayap yang berasal dari Indonesia ini berjaya menambat hati peminat pasukan Sabah dengan mempamerkan aksi terbaiknya ketika menewaskan Negeri Sembilan pada minggu lalu.

Beraksi di sebelah sayap kanan, Saddil sentiasa mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang boleh membuka peluang kepada rakan untuk menjaringkan gol.

Pemain berusia 23 tahun ini menjadi tonggak utama skuad kendalian Ong Kim Swee dan sudah pasti namanya akan tersenarai dalam kesebelasan utama menentang juara lapan kali Liga Super berkenaan.

Baru-baru ini, Saddil dikhabarkan menerima tawaran untuk menyertai sebuah kelab dari Eropah, Dinamo Minsk selepas musim ini berakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah FC, JDT, Ong Kim Swee, Liga Super