'Itulah kehidupan,' Dennis sedih tak dapat tolong keluarga Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 14 Jul 2022

Dennis (dua dari kiri) ketika membuat penampilan bersama Kedah sebelum ini. — Facebook

PENYERANG import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening meluahkan kekecewaannya apabila tidak dapat membantu pasukan itu ketika menentang PSM Makassar, dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC pada 9 Ogos depan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Dennis berkata, kecederaan Tendon Achiles yang memerlukan pembedahan itu merupakan punca dia tidak dapat berjuang bersama skuad Sang Kenari, sekali gus mengambil keputusan berpisah dengan kelab utara itu.

"Itulah kehidupan dan saya perlu maju ke hadapan.

"Tolong penuhi permintaan saya dan teruskan usaha untuk semua perlawanan dan semua sesi latihan sama seperti Piala AFC.

"Anda akan kembali ke landasan tidak lama lagi untuk kali kedua," katanya.

Selain mengucapkan tahniah kepada Kedah yang sudah sampai ke tahap separuh akhir Piala AFC, Dennis turut berterima kasih kerana memberi peluang kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga skuad tersebut.

Pada masa sama, dia mengakui berasa gembira apabila melihat pasukan tersebut beraksi dengan baik.

"Anda semua adalah pemain yang hebat. Semoga maju jaya buat pemain baharu.

"Kekal sihat dan semoga berjaya buat anda semua. Terima kasih atas segalanya buat semua pemain, jurulatih, kakitangan dan pihak pengurusan. Sayang anda semua dan semoga berjumpa lagi," tambahnya.

Pemain tersebut memulakan kerjaya bola sepak remajanya di Borussia Dortmund, sebelum beraksi dengan beberapa kelab di Liga German.

Dennis bukan lagi asing dalam kancah Liga Malaysia kerana pernah bersama skuad Sabah pada musim 2020, sebelum menyertai skuad UiTM FC pada musim lalu dan pada tahun 2022 memilih untuk bersama KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram