Prestasi naik turun, tetap ada peminat setia bersama Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Ramai peminat tidak sabar menantikan aksi perlawanan KDA FC menentang Bali FC. — KDA FC

SUDAH menjadi resam dalam pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah.

Begitu juga bermain secara berpasukan apabila kerjasama antara pemain sangat penting bagi memucu kejayaan.

Tidak terkecuali dengan skuad Sang Kenari yang tampil dengan persembahan permainan tidak menentu dalam kempen Liga Super 2022.

Memetik perkongsian pemerhati bola sepak Kedah, Don K-Rul IZham, dia memberikan sokongan padu kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dilihat lebih bersemangat apabila turun beraksi.

"Bagi Kedah, kenangan-kenangan musim 2008 dan 2009 dulu masih segar dalam ingatan kita. Boleh dikatakan aku tidak melepaskan peluang hadir ke stadium untuk menonton perlawanan Liga Bola Sepak Asia (AFC) ini kerana prestij dan keinginan melihat pasukan luar beraksi di Darulaman bukan mudah.

"Itu cerita 13 tahun yang lalu. Hari ini kita membuka lembaran baru bersama kelab," katanya di Facebook.

kedah fc

Tangkap layar kata-kata semangat oleh Don K-Rul IZham. — Facebook

Sebagai peminat, dia juga tidak meletakkan sasaran untuk terus menyandang gelaran juara kerana ingin menilai pasukan daripada pelbagai aspek.

Beberapa perkara seperti perkembangan kelab dikatakan mampu untuk mendorong pasukan mencapai visi dan misi sekali gus bersaing di peringkat lebih tinggi dari semasa ke semasa.

"Rasanya kita tolak tepi dulu perbincangan soal taktikal pasukan atau kondisi pemain. Rata-rata dalam keadaan bersedia, fit untuk sepak mula Jumaat ini," tambahnya.

Pada masa sama, Don K-Rul IZham turut menitikberatkan soal sokongan peminat yang seharusnya tidak berbelah bahagi kepada pasukan meskipun sedang bergelut dengan kegagalan.

"Kejohanan Piala AFC ini memberikan kita nostalgia. Ia bukan sekadar semata-mata kejohanan yang kelab sertai, tetapi ia adalah impian semua, pemain dan peminat. Setelah penat lelah kelab perjuangkan, ini masanya. Peminat di sini sentiasa mendoakan perjuangan anda. Pulun Kedah Pulun," ujarnya.

Diharapkan pasukan di bawah pimpinan Aidil Sharin Sahak mampu membawa pulang kejayaan dalam kempen Piala AFC di Indonesia Jumaat dan berakhir pada 30 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram