Laluan sukar Kedah, cabaran sulung KL City


Pemerhati bola sepak menjangkakan KL City memiliki peluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan Piala AFC. — Bernama

DUA wakil negara, naib juara Liga Super Kedah Darul Aman (KDA) FC dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC akan menyingkap kempen peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Jumaat ini.

Bagaimanapun pemerhati bola sepak tanah air, Azlan Johar menjangkakan skuad Sang Kenari bakal berdepan laluan getir berbanding The Hawks untuk melepasi fasa peringkat kumpulan kejuaraan tahap dua anjuran AFC tersebut.

Malah menurut Azlan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang bergelut dengan prestasi dalam Liga Super dijangka berdepan ujian getir apabila berdepan pencabar Kumpulan G juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United FC dan juara Copa Paulino Alcantara 2021, Kaya FC dari Filipina.

“Untuk Kedah, saya lihat peluang untuk mara mungkin agak sukar memandangkan pasukan seperti Bali United FC dan Kaya FC ini bukanlah pasukan yang calang-calang kerana kedua-dua pasukan ini merupakan kelab yang pernah menjuarai liga utama di negara masing-masing.

“Bukan mahu menidakkan keupayaan KDA FC, namun saya lihat berdasarkan prestasi semasa skuad Kenari sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini yang dilihat tidak konsisten berbanding musim dahulu

“Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk pasukan Hijau Kuning sekiranya mereka berjaya memperbaiki kelemahan sebelum ini sebagai persiapan mengharungi kejuaraan kali ini,” katanya.

Anak buah Aidil Sharin akan membuka tirai kempen Piala AFC musim ini menentang Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta pada Jumaat diikuti Kaya FC pada 27 Jun sebelum melengkapkan saingan berdepan kelab Kemboja, Visakha FC pada 30 Jun.

Mengenai KL City kendalian Bojan Hodak pula yang diundi dalam Kumpulan H bersama wakil Indonesia, PSM Makassar dan Tampines Rovers (Singapura), Azlan menyifatkan The Hawks memiliki peluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan.

Jelas Azlan, sewajarnya beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada peringkat ini merupakan satu kelebihan motivasi buat skuad warga kota dalam penampilan sulung tersebut.

“Pasukan KL City juga mungkin tidak berdepan laluan yang sukar memandangkan lawan dari Indonesia, PSM Makassar dan Tampines Rovers boleh disifatkan sama taraf dengan pasukan tuan rumah.

“Malah beraksi di laman sendiri di depan para pemain ke-12 KL City juga saya percaya akan membantu melonjakkan semangat dalam kalangan pemain untuk memberikan aksi terbaik masing-masing,” katanya.

KL City akan memulakan kempen berdepan PSM Makassar dilatih Bernardo Tavares pada Jumaat sebelum mengakhiri saingan menentang Tampines Rovers kendalian Gavin Lee pada 30 Jun. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram