SETERU antara penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT) masih berlarutan yang mana kali ini seorang individu dipercayai penyokong Harimau Selatan dikatakan menghina nama negeri jelapang padi itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, pemilik akaun Mat Sanusi Buyut yang dipercayai akaun palsu berkongsi satu troll yang membuatkan penyokong skuad Sang Kenari berang.
Ini berikutan, Mat Sanusi berkongsi gambar dua lelaki pendatang asing (dipercayai Bangladesh) yang memakai jersi KDA FC sambil memegang piala.
Bersama gambar itu, Mat Sanusi turut menulis status yang turut menghina Kedah dengan mencantumkan nama negeri itu dengan nama haiwan.
Hantaran itu mendapat kritikan hebat penyokong KDA FC yang menyifatkan bahawa ia sudah keterlaluan dan mencemarkan nama negeri.
Pemilik akaun, Ahmad Nazri turut menyatakan perkara itu di ruangan komen dan mengajak semua rakyat Kedah agar mendoakan Mat Sanusi supaya insaf.
"Wahai rakyat negeri kedah ingatlah nama ini Mat Sanusi Buyut yang telah menghina kedaulatan negeri kita.
"Meskipun ini bukan nama sebenar dia, tetapi tetap menghina, ayuh kita doakan dia supaya cepat insaf sebelum terlambat," ujarnya.
Sementara itu, pemilik akaun Palai Kudutz menyatakan bahawa penghinaan seumpama ini perlu dibawa ke muka pengadilan.
"Hanya berani guna akaun palsu untuk menghina pasukan lain, kamu lelaki atau peremouan?
"Penyokong Kedah boleh mula buat laporan polis terhadap akaun palsu ini," kongsinya.
Dalam pada itu, Muhd Amienz pula menyatakan bahawa selaku orang Kedah, dia juga tersinggung dengan penghinaan tersebut dan tidak sepatutnya nama negeri diperalatkan.
"Agak-agak kalau nak troll jangan main-main, aku sebagai orang Kedah terasa dengan penghinaan.
"Tak patut tulis macam itu. Ingat kita ada undang-undang. Nak troll benda lain tiada masalah, tetapi nama negeri tu sangat masalah," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram