JURULATIH Bali United, Stefano Cugurra yakin skuad kendaliannya mampu memberi tentangan hebat kepada Kedah FC dalam perlawanan sulung Piala AFC 2022 yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada Jumaat.
Menyasarkan tiga mata pada perlawanan menentang skuad Sang Kenari, Bali United di bawah kendalian Stefano giat membuat persiapan rapi.
Jurulatih berusia 47 tahun itu mengakui sudah menganalisis kekuatan skuad Hijau Kuning yang akan menjadi lawan pertama dalam perlawanan peringkat antarabangsa itu.
"Pasukan Kedah adalah pasukan tradisional dari Malaysia. Saya juga pernah berkhidmat di sana jadi saya tahu kelab yang kuat dan pemain yang bagus di sana," kata Stefano menerusi laman web rasmi kelab itu.
Stefano pernah melatih kelab Kuala Muda Naza pada 2009 sehingga dia mengetahui ciri-ciri permainan kelab-kelab dari Malaysia termasuk Kedah FC.
Stefano mengetahui ciri-ciri permainan kelab-kelab dari Malaysia termasuk Kedah FC. — Agensi
Dengan status naib juara Liga Super Malaysia, Kedah FC berpotensi menjadi lawan sengit Bali United yang terkenal dengan jolokan Serdadu Tridatu dalam Kumpulan G.
Ketika ini, pasukan Kedah FC kendalian Aidil Sharin Sahak masih berada di tangga keempat kedudukan Liga Malaysia dengan 14 mata selepas sembilan perlawanan.
Bagaimanapun, Kedah FC disifatkan tidak berada dalam prestasi cemerlang kerana skuad yang juga terkenal dengan jolokan Lang Merah itu hanya memperoleh keputusan seri dalam tiga perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan, Terengganu dan Petaling Jaya City.
Kedah FC juga tewas 2-3 dengan Melaka United dan 0-4 (Sabah) pada aksi saingan Liga Super 2022.
Memetik laporan portal Suara.com pada Khamis, kekuatan Kedah FC musim ini boleh dikatakan semakin berkurangan ekoran beberapa pemain utama pada musim lalu meninggalkan kelab Hijau Kuning itu.
Mereka ialah Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang kini bersama Sabah FC manakala pemain tengah, Renan Alves turut dilepaskan ke kelab Indonesia, Barito Putera.
Baddrol Bakhtiar (kiri) dan Rizal Ghazali ketika bersama Kedah FC. — Facebook
Pemergian tiga pemain itu digantikan dengan senjata baharu termasuk satu nama yang mencuri perhatian iaitu Ronald Ngah Wanja yang dibawa dari Al-Salt SC. Kehadirannya menambahkan lagi barisan serangan tajam Kedah FC.
Dia menjaringkan tujuh gol daripada sembilan penampilan bersama skuad Kenari dalam Liga Super Malaysia.
Pada masa ini, Kedah FC mencetak 13 gol secara keseluruhan yang menyaksikan pemilik jersi nombor 18 itu menyumbang lebih separuh daripada jaringan skuad Sang Kenari.
Kehadiran penyerang Cameroon tersebut wajar diawasi oleh pertahanan Bali United yang mana tonggak skuad itu, Leonard Tupamahu dan rakan sepasukan harus menjalani ujian getir dalam menjaga nadi pertahanan pasukan.
"Fokus dan disiplin adalah aset penting untuk dapat menunjukkan penampilan yang mantap," kata portal itu memetik laman web rasmi Bali United.
Kehadiran Ronald Ngah wajar diawasi oleh pertahanan Bali United. — Facebook
Pada masa sama, Bali United juga perlu berwaspada dengan lawan kerana Kedah FC mempunyai kelebihan dari segi kecergasan pemain.
Ini kerana, menurut Stefano, Kedah mempunyai lebih sebulan untuk membuat persiapan sebelum beraksi pada 24 Jun ini. Kedah FC kali terakhir bermain pada 17 Mei menentang Negeri Sembilan FC.
Sepatutnya, Sang Kenari bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada 19 Jun, namun perlawanan itu ditunda.
Keadaan tersebut berbeza dengan Bali United yang hanya berehat tiga hari kerana skuad Serdadu Tridatu itu baru sahaja menamatkan saingan Piala Presiden 2022 menentang Persebaya pada 20 Jun lalu.
"Kedah sepatutnya menentang JDT, tetapi perlawanan itu ditangguhkan. Kelewatan ini pasti digunakan oleh mereka untuk menjadi lebih kuat," kata jurulatih yang mengumpul tiga gelaran Liga 1 itu.
Skuad Bali United diramal lebih unggul dalam perlawanan menentang Kedah FC. — Agensi
Jurulatih berusia 47 tahun itu masih optimis Bali United akan mencapai keputusan positif pada perlawanan tersebut kerana berstatus tuan rumah dan medapat sokongan pemain ke-12.
"Saya rasa kehadiran penyokong Bali United akan memberi galakan kepada kami selain memberi tekanan kepada pasukan lawan. Pastinya kami boleh mendapat keputusan positif di laman sendiri (Stadium Kapten I Wayan Dipta)," kata Stefano.
Sementara itu, portal KalbarTerkini.com menjangkakan Bali United diramal lebih unggul dalam perlawanan itu nanti dengan kemenangan mungkin berpihak kepada pasukan tuan rumah dengan skor 2-1.
Ramalan itu berdasarkan lima perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram