Firmino, Salah mungkin ikut jejak Mane, Liverpool intai kelibat penyerang Chelsea


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Firmino (tengah) dan Salah (kanan) dikatakan akan mengikut jejak langkah Mane meninggalkan Liverpool pada bila-bila masa. — Getty Images

SELEPAS kehilangan Sadio Mane yang sah menyertai Bayern Munich, Liverpool menerima satu lagi tamparan hebat apabila seorang lagi penyerang, Roberto Firmino disebut-sebut hanya akan kekal di Anfield untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

Berita itu pastinya mengundang resah peminat The Reds lantaran masa depan seorang lagi penyerang, Mohamed Salah bersama Liverpool juga samar-samar apabila dikatakan bakal mengikut jejak langkah Mane pada bila-bila masa.

Meskipun telah mendapatkan beberapa muka baharu seperti Luis Diaz, Darwin Nunez, Calvin Ramsay dan Fabio Carvalho, ia belum cukup untuk menghilangkan resah peminat The Reds.

Untuk rekod, kontrak Firmino sepatutnya tamat pada musim depan, sama seperti Mane yang membuat keputusan untuk berhijrah lebih awal musim ini.

Justeru, bekas pemain tengah Liverpool, Stewart Downing percaya musim depan merupakan yang terakhir buat Firmino setelah empat musim bersama kelab itu.

Keberkesanan Diaz, Nunez dan Diogo Jota sebagai penggempur semasa The Reds juga dilihat belum cukup terbukti seperti mana gandingan Salah, Mane dan Firmino, justeru beberapa nama besar kini dikaitkan menuju ke Anfield.

Selain penggempur Bayern iaitu Robert Lewandowski, Liverpool juga dilaporkan sudah memulakan usaha untuk memancing penyerang Chelsea, Timo Werner.

werner

Werner (kanan) pernah dikaitkan dengan Liverpool sebelum akhirnya menyertai Chelsea pada 2020/2021 — Agensi

Werner pernah dikaitkan ke Liverpool sedikit masa lalu, namun dia membuat keputusan untuk menyertai Stamford Bridge pada dua musim lepas.

Meskipun pada awalnya dikecam peminat The Blues, Werner kembali menemui sentuhan sebenar ketika di bawah tunjuk ajar Thomas Tuchel, jadi amat sukar untuk melihatnya menyarung jersi Liverpool musim depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram