PENYERANG Harimau Malaya, Akhyar Rashid dikatakan bakal meninggalkan kelab terkininya, Johor Darul Takzim (JDT) selepas difahamkan dia akan dipinjamkan ke sebuah pasukan yang berpangkalan di Borneo.
Kelab yang dimaksudkan itu ialah Sabah FC dan khabar tersebut bermula apabila sebuah halaman penyokong rancak berbual mengenai kehadiran pemain itu pada jendela perpindahan kedua ini.
Jika benar Akhyar sertai Sabah FC, dia akan menjadi pemain kedua yang berhijrah ke skuad Sang Badak selepas Farhan Roslan menemui kata sepakat untuk menamatkan kontrak bersama Kelantan FC.
Kehadiran Akhyar pasti membuatkan penyokong turun ke stadium namun adakah Sabah FC merupakan kelab terbaik buat bintang muda itu ataupun kedatangannya tidak akan memberi impak besar kepada pendahulu Liga Super itu.
Berikut merupakan enam situasi kelebihan dan kelemahan jika Akhyar sah menyarung jersi Sabah FC:
Kelebihan
1) Minit permainan
Meskipun status berita mengenai Akhyar bakal kembali ke skuad Sang Badak masih berstatus khabar angin, tetapi jika berlaku ia akan menjadi kelebihan buat pemain berusia 23 tahun itu untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Bersama JDT, Akhyar kurang memperoleh minit permainan dan ia dibuktikan berdasarkan statistik di transfermarket pada musim ini dia hanya membuat satu penampilan dengan tujuh minit permainan sahaja.
Akhyar boleh mendapatkan minit permainan yang banyak apabila sertai Sabah FC dan dari situ dia dapat meningkatkan prestasi apabila turun beraksi.
2) Jentera serangan Sabah FC semakin kukuh
Sabah FC yang baru sahaja menjadi pendahulu liga selepas berjaya memintas JDT dengan kelebihan dua mata pasti memerlukan bahagian serangan yang kukuh.
Mana tidaknya penyerang importnya dari Brazil, Neto Pessoa masih belum dapat memuaskan hati penyokong dan dikatakan gagal mempamerkan aksi cemerlang secara konsisten bagi musim ini.
Kemasukan Akhyar mungkin boleh menajamkan kualiti penyudah skuad Sang Badak ketika di hadapan gol dan sekali gus mengukuhkan jentera serangan Sabah FC.
3) Berlatih semula bawah Datuk Ong Kim Swee
Kim Swee pernah membantu menyerlahkan Akhyar bersama skuad kebangsaan. — Facebook FAM
Ibarat reunion semula bersama jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee jika pemain muda itu sertai skuad Sang Badak kerana sebelum ini Akhyar pernah dilatih oleh pengendali tersebut sewaktu bersama skuad kebangsaan pada 2017.
Pada usianya 18 tahun, bekas pemain Kedah itu mendapat kepercayaan jurulatih Kim Swee untuk bersama skuad kebangsaan.
Jika pemain itu bersatu semula bersama Kim Swee, pastinya jurulatih itu boleh menyerlahkan bakat dan potensi Akhyar setelah sekian lama duduk di bangku simpanan.
Kelemahan
1) Terlepas untuk kembali bermain bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC
Akhyar merupakan produk akademi KDA yang paling berjaya sehingga mendapat gelaran 'Neymar Malaysia'. — Facebook
Pada awalnya Akhyar dikaitkan dengan desas-desus bahawa dia akan dipinjamkan ke KDA FC pada jendela perpindahan kedua ini.
Namun hasrat penyokong Sang Kenari untuk melihat aksi 'Neymar' Malaysia akan terkubur sekiranya Akhyar menyertai Sabah FC.
Malah, kenyataan mengenai ‘tokong’ yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menguatkan lagi bahawa Akhyar tidak akan dipinjamkan ke pasukan Kedah.
Ini dapat dilihat dengan keputusan JDT memanggil pulang pemain pinjaman mereka, Syafiq Ahmad beberapa hari selepas isu tokong itu hangat diperkatakan.
2) Stamina Akhyar kurang memuaskan
Stamina pemain itu pernah dibincangkan oleh penyokong bola sepak tempatan apabila mereka memerhati bahawa kekurangan minit permainannya adalah disebabkan faktor cepat letih.
Perkara itu dibuktikan menerusi beberapa perlawanan Harimau Malaya baru-baru ini, Akhyar tidak pernah diturunkan untuk bermain sepanjang 90 minit permainan.
Satu kerugian buat pasukan Sabah FC jika mengambil pemain yang kurang berstamina namun perkara itu boleh diubah jika dia sering menjadi kesebelasan utama.
3) Ubi muda Sabah kurang menyerlah
Antara barisan kesebelasan utama Sabah FC. — Facebook Sabah FC
Kedatangan Akhyar pasti lebih menutup ruang buat ubi muda Sabah Fc untuk turun beraksi.
Dengan barisan pemain yang ada sekarang pun, ubi muda Sabah FC kurang mendapat tempat apatah lagi dengan kehadiran Akhyar.
Barisan Sabah FC kini terdiri daripada bintang-bintang tempatan ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali dan Irfan Fazail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram