KHABAR angin berhubung pemain kebangsaan yang bakal diintai oleh salah satu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), sudah tentu akan memberi keterujaan buat peminat bola sepak tanah air.
Antara nama yang disebut-sebut adalah pemain kacukan negara, Dion-Johan Cools.
Perkara itu seperti dikongsi oleh pemilik akaun Facebook, Lim Ericson yang menyatakan bahawa kelab EPL yang tidak didedahkan itu sedang memantau pemain pertahanan Harimau Malaya.
Irfan berkata, tiada keburukan diperolehi Dion Cools sekiranya menyertai salah satu kelab EPL. — Astro Arena
Tampil mengulas mengenai perkara itu, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan bahawa, bukan mudah buat seseorang pemain untuk dapat bersama-sama menyertai kelab EPL.
Pengendali Kuching City FC itu berkata, sekiranya khabar angin itu benar, maka tiada keburukan bakal diperolehi oleh Dion Cools.
"Harimau Malaya mesti akan lepaskan dia. Tapi kalau setakat friendly game (perlawanan persahabatan), kadang-kadang kelab tidak akan lepaskan.
"Melainkan competitive game yang bersamaan jadual FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), memang mereka (Harimau Malaya) akan lepaskan dia," katanya kepada Majoriti.
Dalam perkembangan lain, Irfan menjangkakan bahawa Syameer Kutty, Arif Aiman dan Faisal Halim antara nama yang bakal dilamar oleh Liga Thailand.
Beliau berkata, Shameer Kutty adalah antara pemain yang dilihat paling rajin ketika ini.
Pada masa sama, katanya, corak permainan Arif Aiman dan Faisal Halim pula dilihat lebih kurang sama, yang mana kedua-duanya bermain bola secara positif dan berani.
"Jadi, itu salah satu kaedah menarik dengan menggunakan skill yang dia ada.
"Saya rasa dua orang ni JDT (Johor Darul Takzim) mungkin susah nak lepas. Tapi tak tahulah sekiranya (melepaskan) boleh menambahkan ilmu bola sepak," katanya.
Arif Aiman dijangka bakal sertai Liga Thailand. — JDT
Terdahulu, khabar mengejutkan datang selepas pasukan negara melayakkan diri ke temasya Piala Asia, yang mana dua pemain skuad kebangsaan dikhabarkan bakal menyertai kelab Thailand, BG Pathum United.
Perkara ini dikongsikan oleh Makan Bola, namun tidak menyebut secara spesifik pemain mana yang akan menyertai bekas juara saingan Thai League 1 itu.
Pemain yang dimaksudkan beraksi di posisi sayap dan menjadi antara pemain penting ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di laman sendiri baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram