DIAM-diam, skuad Sabah FC rupa-rupanya berjaya mendapatkan penyerang import terbaharu, Jose Embalo bagi menggantikan Neto Pessoa pada jendela perpindahan kedua pemain kali ini.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh pihak Sabah FC dalam kenyataan di laman Facebook yang memaklumkan, pemain berusia 29 tahun itu sah bersama The Rhinos.
Embalo merupakan pemain kedua sertai Sabah FC pada jendela perpindahan kedua pemain kali ini selepas pemain sayap, Farhan Roslan memutuskan untuk meninggalkan Kelantan FC.
Tangkap layar hantaran dari Sabah FC yang mengumumkan Embalo sebagai pemain baharu skuad The Rhinos.
Pengambilan pemain dari Guinea Bissau itu adalah untuk menggantikan Neto Pessoa sebagai penyerang Sabah FC.
Pemain kelahiran Lisbon, Portugal itu memulakan kerjaya profesionalnya bersama kelab divisyen satu dari Cyprus, AEL Limassol yang mana dia beraksi selama tiga musim bersama kelab terbabit.
Sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah FC, pemain berketinggian 1.88 meter itu beraksi bersama Alashkert FC iaitu kelab Liga Primer dari Armenia.
Berdasarkan laman web transfermarkt.com, Embalo yang bermain di jentara serangan bersama Alashkert FC itu berhasil menjaring sebanyak 12 gol menerusi 43 penampilan sepanjang musim 2021/2022 dan berjaya membantu pasukannya menjulang Piala Super Armenia.
Ketajaman penyudah Embalo turut menarik minat kelab Indonesia, Persebaya Surabaya namun dilaporkan ia tidak menjadi kenyataan kerana kerana nilai perpindahannya yang tinggi.
Nilai pasarannya menurut transfermarkt.com ialah 250,000 Euro (RM1.16 juta) setakat 14 Jun 2022.
Lebih menarik, Embalo merupakan sepupu kepada pemain kebangsaan Portugal, Yannick Djalo yang pernah berkhidmat untuk kelab divisyen satu Thailand, Ratchaburi Mitr Phol F.C.
Meskipun Embalo tidak mempunyai pengalaman bermain di Asia Tenggara seperti sepupunya namun pengalamannya bersama pasukan dari kelab luar negara seperti Cyprus, Romania, Iceland, Poland dan Armenia boleh digunakan bersama skuad The Rhinos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram