Ramai bersimpati dengan pencuri kelapa sawit


  • Tular
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Suspek dilihat terlebih dulu memberhentikan motosikal di tepi sebuah jalan raya sebelum disyaki mencuri kelapa sawit terbabit di Teluk Kerang, Pontian, Johor. — TikTok

TINDAKAN seorang lelaki tempatan yang dipercayai mencuri dua tandan kelapa sawit sebelum menghilangkan diri dengan menunggang motosikal di Teluk Kerang, Pontian, Johor mengundang pelbagai reaksi orang ramai sejak Khamis.

Menerusi perkongsian video oleh @abangbajak00 di laman aplikasi TikTok miliknya, individu tersebut memberhentikan motosikal di tepi sebuah jalan raya sambil memerhatikan longgokan kelapa sawit di kawasan itu.

Berdasarkan video berdurasi 19 saat itu, selepas melihat keadaan persekitaran, lelaki itu tanpa membuang masa terus mengangkat dua tandan kelapa sawit dan meletakkannya dalam raga motosikal tanpa menghiraukan kenderaan yang melalui jalan raya tersebut.

Difahamkan, harga semasa bagi dua tandan kelapa sawit boleh mencecah sehingga ratusan ringgit.

Tindakan lelaki itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai dipercayai mencuri dua tandan kelapa sawit menggunakan sebuah motosikal. TikTok

Menerusi ruangan komen, video tersebut mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang berasa simpati kepada lelaki tersebut jika benar dia menghadapi kesusahan untuk mencari duit buat ahli keluarganya.

"Banyak dah jadi kes macam ini, tapi tahu ke tujuan dia ambil? Adakah untuk beli makanan keluarga atau bahan terlarang? Orang tak marah kalau betul-betul susah," kata @Haz1artforcejohor.

"Mungkin dia terpaksa, semoga tuan punya sawit dimurahkan rezeki, ALLAH sahaja balas segala kebaikan tuan, yang ambil mungkin ada mulut nak diberi makan," ujar @Rosejamil575.

"Mungkin dia dah tak ada apa-apa langsung, gas habis, beras habis, anak-anak lapar. ALLAH sahaja yang lebih mengetahui," jelas @Azharmat225.

"Setandan itu berapa ya harga? Kadang-kadang saya tengok sanggup diorang isi dalam kereta sawit ini, 'last' saya ikut kawan satu atau dua tandan ikut berat dah boleh dapat RM 100 lebih," tulis @Rusa009.

Sehingga kini, video tersebut meraih lebih satu juta tontonan dan 41,800 ribu tanda suka di TikTok.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung perkara itu termasuk sama ada suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan ataupun tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram