Hajat pesara polis hadiahkan anugerah pingat kepada isteri tidak kesampaian


  • Tular
  • Rabu, 08 Jun 2022

Kenangan arwah (duduk kanan) bersama ahli keluarga semasa Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

KEHILANGAN orang tersayang merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bagi semua insan tidak kira lelaki atau wanita, miskin atau kaya.

Perasaan sedih pilu tentunya akan menyelubungi setiap individu yang kehilangan orang yang disayangi yang mana kehilangan itu akan menjadi kerinduan yang tidak ada penghujungnya.

Begitulah yang berlaku terhadap seorang warga emas, Ishak @ Yusoff Salleh yang kehilangan isterinya, Hajar Embi, 73, dipercayai akibat penyakit kencing manis pada Selasa.

Ishak @ Yusoff Salleh atau lebih mesra disapa Yusoff juga mempunyai gelaran khas buatnya iaitu Usop Ayam ketika dia berkhidmat sebagai polis sehingga menarik minat seorang kartunis untuk meletakan nama gelaran itu ke dalam buku kartun mengenai kisahnya yang pergi berkhidmat ke dalam hutan.

Manakala, di kawasan Kuala Selangor pula Yusoff lebih dikenali sebagai Pak Usop Bagan.

WhatsApp Image 2022-06-10 at 6.29.15 AM

Yusoff menerima pingat perkhidmatan dari PDRM di IPD Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Yusoff, 76, seorang pesara polis hutan sebenarnya menerima pingat perkhidmatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor pada Rabu yang mana beliau berniat menghadiahkan pingat tersebut kepada arwah isterinya.

Anak sulung Yusoff, Yusiha, 50, berkata, arwah seorang yang baik sentiasa membesarkan mereka sekeluarga dengan penuh bertanggungjawab walaupun keadaan ketika dahulu susah sehingga menyebabkan arwah sanggup berniaga demi menyara keluarga.

WhatsApp Image 2022-06-08 at 2.07.29 PM

Arwah seorang yang baik sentiasa membesarkan mereka sekeluarga dengan penuh bertanggungjawab.

"Mak seorang insan paling baik dan bertanggungjawab, dalam menjaga kami sekeluarga. Dia sanggup berniaga menjual makanan untuk menyara sembilan adik beradik kami semasa ayah bertugas masuk ke dalam hutan.

"Ketika ayah bertugas, dia akan pergi dalam tempoh waktu yang lama kadang-kadang boleh memakan masa hampir satu atau dua bulan jadi mak di rumah akan uruskan segala keperluan harian kami," katanya pada Majoriti.

Dahulu, arwah isteri Yusoff berniaga menjual makanan di kem pasukan polis hutan (PPH) batalion 11 dan kini dikenali PGA Batalion 8 sebelum membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran bersamanya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum berhijrah ke Kuala Selangor, Yusoff dan arwah isterinya menyerahkan kedai tersebut kepada anak angkat untuk menjaganya sehingga kini.

Pada 1999, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Yusoff bersama arwah isterinya sekali lagi membuka kedai di kawasan Bukit Malawati, Kuala Selangor, Selangor yang diberi nama Bagan Restoran.

Cerita Yusiha lagi, selepas ayahnya menamatkan perkhidmatan sebagai polis, Yusoff begitu rapat bersama arwah ibunya sehinggakan tidak lagi boleh berjauhan yang mana mereka mahu menghabiskan sisa hidup bersama.

"Selepas ayah memilih untuk bersara dari jadi polis, dia dengan arwah mak memang rapat sangat, ketika saat-saat terakhir bersama arwah boleh nampak air muka ayah sedih dalam pada masa dia reda dengan pemergian mak," ujarnya.

WhatsApp Image 2022-06-08 at 1.50.12 PM

Impian Yusoff untuk memberikan pingat tidak kesampaian apabila arwah isterinya menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa.

Yusiha memberitahu, Yusoff sebenarnya mahu memberikan pingat kepada arwah kerana jasa dan pengorbanan sebagai seorang isteri dan ibu yang beliau sanjungi.

"Ayah ada cakap, dia nak beri pingat perkhidmatan itu kepada arwah sebab mak dah banyak berkorban untuk keluarga dan membesarkan kami adik beradik yang mana ada salah seorang dari mereka merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU).

"Mungkin itu cara ayah untuk membalas segala budi dan keringat mak sepanjang menjaga keluarga ini," jelasnya.

Impian Yusoff untuk memberikan pingat tidak kesampaian apabila arwah isterinya menghembuskan nafas terakhirnya bersama keluarga di Hospital Selayang, Selangor pada Selasa.

Arwah pergi buat selamanya, sehari sebelum penganugerahan pingat perkhidmatan PDRM dan mereka bercadang untuk menziarahi kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai, Kuala Selangor selepas majlis anugerah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram