Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori


  • Primer
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Hukuman mati dimansuhkan di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai setelah beliau membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

"Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu (1) kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] 2 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka serta pakar kajian jenayah (criminologist).

Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian atau Jabatan berkepentingan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, tindakan itu adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip 'proportionality' dan keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada Kerajaan kelak.

Jelasnya, kerajaan turut akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negeri ini.

Ia termasuk pewujudan prosedur pra penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Council), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (Prison Reform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

"Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik," katanya.

Sebelum ini, Amnesty International Malaysia berkempen menentang pelaksanaan hukuman mati - mendesak supaya kerajaan meminda undang-undang bagi membenarkan budi bicara hakim ketika menjatuhkan hukuman.

Badan bukan kerajaan itu tampil membela nasib seorang ibu tunggal yang mempunyai sembilan orang anak, ketika berdepan dengan hukuman mati kerana memiliki dan mengedar 113.9g metamfetamin (syabu) pada Oktober tahun lalu.

Hairun Jalmani, 55, didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kes penjual ikan itu hangat diperkatakan di media sosial, selepas rakaman klip video memaparkan dia menangis meminta tolong dalam keadaan tangannya digari menjadi tular. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram