Polis nafi wanita rentung di Kuala Kangsar hamil sebelum dibunuh


  • 112
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Keadaan mayat dipercayai wanita yang disyaki dibunuh dan dibakar di tepi sungai di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar.

REMAN dilanjutkan ke atas seorang lelaki yang dipercayai membunuh teman wanitanya, selepas mayat mangsa ditemui rentung di tebing sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Kuala Kangsar, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya memohon supaya perintah reman itu dilanjutkan enam hari sehingga Khamis minggu depan.

Beliau berkata, polis yakin lelaki berusia 20 tahun itu ada kaitan dengan kes tersebut.

"Masih (terlalu) awal untuk mengatakan bahawa dia adalah suspek utama, tetapi dia mempunyai kaitan (dengan kes itu).

"Daripada maklumat yang kami kumpul, apabila mangsa keluar, dia akan berbuat demikian sama ada bersama keluarga atau teman lelakinya," katanya pada sidang media di Greentown di Ipoh, Perak pada Jumaat.

Tambahnya, empat lagi lelaki yang ditahan sebelum ini masih lagi direman sehingga Isnin.

"Kami masih berusaha untuk menentukan motif pembunuhan," katanya.

Pada 31 Mei lalu, mayat wanita berusia 21 tahun ditemui rentung di tebing sungai oleh orang ramai.

Teman lelaki mangsa ditahan pada 1 Jun selepas keterangannya diambil, manakala empat lagi lelaki ditahan pada 7 Jun.

Seketul konkrit dengan kesan darah yang ditemui berhampiran mayat itu dipercayai merupakan senjata yang digunakan dalam jenayah tersebut.

Pada masa sama, Faridalathrash turut menolak dakwaan bahawa mangsa hamil.

"Ia hanya spekulasi di media sosial. Hasil bedah siasat tidak menunjukkan dia hamil.

"Terdapat insiden di India di mana seorang wanita dirogol beramai-ramai dan dibakar, dan beberapa orang di media sosial cuba mengaitkannya dengan kes ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Faridalathrash berkata, kes pembunuhan wanita warga emas yang dicincang 15 bahagian oleh anaknya, di Parit Buntar pada Sabtu lalu telah selesai.

"Kami telah menahan suspek berusia 42 tahun dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya tidak lama lagi untuk tindakan seterusnya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram