Persija Jakarta ajar penyokong kelab Malaysia erti 'bangsa bola sepak' sebenar


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Pemain Persija Jakarta meraikan gol mereka di hadapan penyokong ketika menentang Sabah FC baru-baru ini.

MENANG dipuji, kalah dimaki. Perumpamaan seperti ini ibarat cukup sinonim dengan senario dalam liga bola sepak tempatan.

Sokongan padu hanya akan diberikan penyokong jika pasukan itu layak ke peringkat akhir. Jika prestasi merudum, alamatnya memang boleh kira berapa orang sahajalah yang hadir ke stadium.

Maka tidak hairanlah sehingga ada gelaran 'bangsa final' diberikan kepada mereka yang hanya turun ketika perlawanan akhir sahaja.

Malah, kelab gergasi seperti Johor Darul Takzim (JDT) juga menerusi pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah menyeru penyokong untuk hadir ke stadium sebagai tanda sokongan sedangkan pasukan itu beraksi untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Ini situasi yang berbeza dengan kelab bola sepak di Indonesia dan boleh dilihat menerusi perlawanan persahabatan yang diadakan antara Persija Jakarta menentang Sabah FC pada Ahad lalu.

27643-persija-jakarta-vs-sabah-fc

Stadium yang penuh dengan penyokong walaupun sekadar perlawanan persahabatan. — Agensi

Walaupun pertemuan itu sekadar perlawanan persahabatan, tetapi Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia tetap penuh dengan penyokong.

Itu membuktikan sokongan konsisten yang diberikan penyokong walaupun skuad Macan Kemayoran sekadar berada di tangga kelapan daripada 18 pasukan dalam liga Indonesia.

Untuk rekod, Persija Jakarta hanya mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan mereka sebelum ini.

Lagu jadi saksi sokongan padu

Menerusi perlawanan menentang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, Persija Jakarta tewas 1-2.

Walaupun tewas, penyokong Persija Jakarta tetap setia di stadium dan melakukan satu tindakan yang membuatkan ramai meremang bulu roma.

Usai perlawanan, kesemua barisan pemain serta jurulatih telah berkumpul di tengah padang sambil membuat bulatan dan berdepan kesemua penyokong yang hadir ke stadium.

WhatsApp Image 2022-06-07 at 1.21.48 PM

Kesemua pemain dan barisan jurulatih bersama-sama menyanyikan lagu rasmi penyokong Persija Jakarta. — Facebook/Persija Jakarta

Kesemua mereka bersama-sama dengan penyokong telah menyanyikan lagu tema penyokong Persija Jakarta berjudul Persija Menyatukan Kita Semua.

Di sebalik tertewasnya mereka dalam perlawanan persahabatan itu, tiada kata makian, sebaliknya sama-sama menyanyikan lagu sebagai tanda semangat dan sokongan tidak berbelah bagi terhadap pasukan itu.

Malah, Jurulatih Persija Jakarta, Thomas Doll turut menyatakan rasa terharu terhadap semangat yang dilemparkan penyokong.

"Walaupun ini sekadar perlawanan persahabatan, saya gembira dengan atmosfera yang ada. Para pemain sudah memberikan yang terbaik.

"Saya akan buat satu pasukan yang terbaik sebagai tanda penghargaan apatah lagi selepas sokongan padu yang diberikan usai tamat perlawanan menentang Sabah FC," katanya.

Keyakinan tinggi penyokong Persija Jakarta

Mengintai ke ruangan komen di Facebook rasmi Persija Jakarta, rata-rata penyokong memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap kemampuan jurulatih mereka.

"Jurulatih telah beri kepercayaan kepada pemain dan tinggal mereka pula memberi kepercayaan kepada penyokong untuk kami banggakan," kata Alfiyan.

285994665_581524309999198_6230163616716485313_n

Sebahagian daripada aksi pemain Persija Jakarta ketika menentang Sabah FC. — Facebook/Persija Jakarta

"15 minit pertama nampak lemah. Tetapi selepas itu mula menampak pola permainan yang bagus. Perlawanan tempoh hari tak menang pun tak mengapa kerana apa yang penting ialah penerapan taktik dan mencipta kerjasama antara pemain," kata Obito.

Sementara itu, beberapa penyokong Sabah FC turut menyatakan rasa penghargaan terhadap perlawanan tersebut.

"Terima kasih Persija Jakarta kerana melayan Sabah FC. Salute kepada penyokong yang bersama kelab mereka sedangkan di Sabah, stadium masih kosong," kata Aliasmat Brahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram