TANYALAH pelajar di universiti mana sekalipun dalam negara, pasti semua ada pengalaman melibatkan pengawal keselamatan yang terlalu garang dan tegas dengan undang-undang.
Terbaharu, tular di media sosial video seorang pengawal keselamatan yang didakwa bertugas di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersikap biadab terhadap pelajar.
Menerusi video berdurasi 29 saat itu, pelajar itu merakamkan dirinya di dalam sebuah kenderaan cuba masuk ke dalam kawasan universiti berkenaan dan perlu melepasi kawalan pengawal keselamatan.
Ketika ditahan, pengawal itu telah bertanya tujuan dan lokasi yang ingin dituju pelajar tersebut sebelum meminta kad pelajar atau kad matrik sebagai pengesahan.
Namun, pelajar itu memaklumkan yang dia tidak membawa kad pelajar tetapi bersedia memberikan kad pengenalan dan lesen memandu sebagai pengesahan.
Apa yang dipertikai individu yang memuat naik video berkenaan adalah sikap pengawal itu yang menegur pelajar dengan cara yang biadab serta melontarkan suaranya dengan kuat.
Warganet yang menularkan video berkenaan di Twitter, wanmehsan berkata, Memang ada peraturan untuk tunjukkan kad pelajar, tapi sebagai pengawal yang berada dalam kawasan penuntut ilmu, pengawal keselamatan itu perlu tahu mengenai adab.
"Tempat ilmu ajar untuk beradab, tapi pekerja sendiri tengking-tengking pelajar! Kalau students itu salah, mana adab kau untuk minta cara elok? Kau siapa nak cakap tengking-tengking dekat pelajar?" katanya.
Tangkap layar status yang dimuat naik seorang warganet berkaitan video tular berkenaan.
Dalam pada itu, Pusat Komunikasi Strategik Usim dalam satu maklum balas berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan isu itu daripada pihak pengurusan jika ada.
Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Usim turut memaklumkan yang isu tersebut telah dipanjangkan kepada Jabatan Keselamatan USIM.
"Satu perbincangan akan dilakukan pada Selasa dan kita juga ingin mengingatkan semua pelajar untuk bertenang serta memberikan peluang supaya isu ini diselesaikan dengan baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram