KURANG tiga minggu lagi sebelum skuad Kedah Darul Aman (KDA FC) menghadapi saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula 24 Jun ini.
Berada di kedudukan keempat carta Liga Super 2022, rata-rata penyokong merasakan skuad Sang Kenari perlu melipatgandakan usaha untuk berdepan dengan lawan yang lebih kuat sebelum bersaing di AFC.
Dengan rekod 17 gol bolos dalam lapan aksi Liga Super musim ini, peminat pasukan Hijau Kuning bimbang skuad kesayangan mereka bakal menjadi 'lauk' pasukan lawan jika persediaan tidak dijalankan dengan rapi.
Melihat kepada persiapan ala kadar KDA FC setakat ini, peminat bimbang skuad itu tidak mampu memberi saingan sengit lebih-lebih lagi Kedah akan bertemu Juara Liga Indonesia dua tahun berturut-turut, Bali United pada aksi pembukaan Piala AFC 2022 bagi kumpulan G.
Dalam aksi ujian pertama persiapan Piala AFC 2022, Kedah bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pada Isnin yang menyaksikan pasukan itu terikat seri 1-1 dengan skuad Harimau Kumbang.
Ia kemudian bakal diikuti aksi ujian kedua berdepan dengan kelab Liga Perdana, Perak FC pada 10 Jun (Jumaat) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Meskipun skuad Seladang itu dibarisi pemain berpengalaman, penyokong tempatan merasakan ia tidak cukup untuk menguji kemampuan KDA FC lebih-lebih lagi selepas ketiadaan penyerang prolifik, Syafiq Ahmad yang dipanggil semula ke kelab asalnya, Johor Darul Takzim.
Perak FC juga dianggap bukan lawan sebenar Kedah untuk menghadapi saingan Piala AFC 2022 kerana kedudukan The Bos Gaurus yang ketika ini berada di tangga tercorot Liga Perdana.
Penyokong merasakan KDA FC patut mencontohi TFC yang melayan kunjungan kelab luar negara sebagai persiapan menghadapi Piala AFC 2022. — Facebook
Sebelum ini pun perlawanan persahabatan Kedah melibatkan pasukan MADA FC, skuad B-21 Kedah, Respect FC dan Langkawi FC untuk aksi pramusim manakala siri jelajah Lembah Klang, Kedah berdepan PIB FC, PDRM FC dan UiTM FC.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu juga pernah bertemu Sarawak United, Kelantan FC dan Sabah FC bagi siri kejohanan pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) 2022 pada Februari lepas.
Berdasarkan pertemuan berikut, peminat merasakan Kedah sepatutnya melayan perlawanan persahabatan dengan kelab negara luar sebagai persediaan menghadapi Piala AFC 2022.
Peminat membuat perbandingan dengan Sabah FC yang bertemu Persija Jakarta dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Ahad (menang 2-1) dan Terengganu FC (TFC) yang melayan kunjungan Phnom Penh Crown FC pada Isnin (menang 3-1).
Mereka merasakan pendedahan sedemikian dapat membantu mempersiapkan mental pemain berdepan lawan lebih kuat dan mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan serta bertenaga.
Selain Bali United, KDA FC juga akan bertemu Kaya FC Ilo Ilo (27 Jun 2022) dan Visakha FC (30 Jun 2022). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram