MASA depan tonggak tengah Sri Pahang FC, Azam Azih masih samar walaupun khabar angin kencang mengatakan dia akan berpindah ke Johor Darul Takzim (JDT).
Penyokong Tok Gajah seakan-akan sudah bersedia dengan pemergian Azam yang sudah menabur bakti di bumi Pahang selama tujuh musim.
Mula menempa nama daripada skuad Harimau Muda B ketika beraksi di Liga Singapura, Azam pantas disambar Sri Pahang FC pada 2016 ketika berusia 21 tahun.
Dengan bakat yang dimiliki pada usia yang masih muda, Azam tampil dalam 22 perlawanan pada musim pertamanya bersama Sri Pahang FC, sekali gus membuktikan dia benar-benar memiliki kualiti sebagai jeneral di padang.
Secara keseluruhannya, pemain berusia 27 tahun itu sudah tampil dalam 88 perlawanan bersama Sri Pahang FC dengan melakar lapan gol dan 12 bantuan gol.
Walaupun nasibnya bersama Sri Pahang FC masih belum diketahui, Tok Gajah dilaporkan sudah ada calon pengganti yang didatangkan khas dari England.
Azam menyerlah ketika beraksi bersama Harimau Muda B.
Kobe Jae Chong antara yang disebut akan mengisi kekosongan tersebut jika Sri Pahang FC benar-benar melepaskan Azam pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Pemain muda kelab Peterborough United Bawah 23 itu merupakan pemain kacukan yang mempunyai pertalian darah Malaysia dan memiliki pengalaman luas di liga belia di Itali dan England.
Dengan usia 20 tahun, Kobe memiliki persamaan seperti Azam iaitu diketengahkan ketika masih muda, sekali gus boleh digilap bakatnya jika diberi peluang untuk beraksi dengan lebih kerap.
Mengikut statistik perlawanan, Kobe hanya beraksi 12 perlawanan iaitu ketika bersama kelab Itali, Cagliari bawah 17 tahun.
Tetapi data itu bukan perkara yang perlu dirisaukan penyokong Tok Gajah kerana pada usia yang sama juga, Azam beraksi dalam 12 perlawanan bersama Harimau Muda B ketika menyertai Liga Singapura pada musim 2014.
Dari segi fizikal, Kobe memiliki kelebihan dari segi ketinggian dengan 1.80 sentimeter berbanding Azam, 1.68 sentimeter, sekali gus tidak mendatangkan masalah untuk pemain muda itu menyesuaikan diri di Liga Malaysia.
Pengalaman Kobe berlatih di England dan Itali pastinya menjadi nilai tambah buat dirinya untuk berdepan kelab Liga Malaysia kerana dia dibiasakan bersaing dengan corak permainan fizikal.
Cuma faktor cuaca mungkin menjadi kelemahan buat Kobe yang terpaksa menyesuaikan dengan suhu panas di negara ini memandangkan dia sudah terbiasa beraksi pada perlawanan bersuhu sejuk.
Jika direalisasikan perpindahan Kobe ke Sri Pahang, ia akan menjadi satu pelaburan berbaloi untuk jangka masa panjang kerana usianya yang masih muda dan mempunyai perjalanan karier yang masih panjang.
Namun segalanya terletak kepada keputusan pengurusan Sri Pahang FC selain percaturan berani Christophe Gamel untuk menurunkan pemain muda dalam kempen Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram