Negara Islam tuntut India minta maaf isu hina Nabi Muhammad


  • Benua
  • Selasa, 07 Jun 2022

Diplomat India yang ditempatkan di teluk dan negara-negara jiran Islam dipanggil oleh pegawai di negara tersebut untuk membantah komen oleh pegawai BJP. — Agensi

KERAJAAN India menerima kritikan dan kemarahan dari dalam dan luar negara selepas dua pegawai parti pemerintah, Parti Nasionalis Bharatiya Janata (BJP) membuat kenyataan tentang Nabi Muhammad.

Kenyataan yang disifatkan menghina Islam itu mencetuskan protes dan rusuhan di bandar utara dan kemudian merebak ke Mumbai, India dengan 38 tangkapan setakat ini.

Dua pegawai dari BJP pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan meluas dalam kalangan umat Islam di India dan luar negara.

Negara seperti Qatar, Arab Saudi, Oman, UAE, Afghanistan, Pakistan dan Iran menuntut permohonan maaf daripada India kerana membenarkan kenyataan menghina itu.

Pada hujung minggu lalu, diplomat India yang ditempatkan di negara-negara Islam dipanggil untuk memperjelaskan komen yang dikeluarkan oleh pegawai BJP.

Capture

Kenyataan yang disifatkan menghina Islam itu mencetuskan protes dan rusuhan di bandar utara dan Mumbai dengan 38 tangkapan setakat ini. — Agensi

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dalam satu kenyataan berkata, penghinaan ini datang dalam konteks peningkatan intensiti kebencian dan penghinaan terhadap Islam di India dan gangguan sistematik terhadap umat Islam.

Badan 57 ahli yang berpengaruh itu memetik keputusan kerajaan India untuk mengharamkan hijab di institusi pendidikan di beberapa negeri negara tersebut dan pemusnahan harta benda orang Islam yang disifatkan sebagai tindakan berat sebelah kerajaan pimpinan Modi.

Kementerian Luar India dalam satu kenyataan berkata, ciapan Twitter dan komen yang menyinggung perasaan itu tidak menggambarkan pandangan kerajaan.

BJP terlebih dahulu menggantung tugas seorang jurucakap parti itu dan memecat pegawai lain pada Ahad (5 Jun) kerana memainkan sentimen agama masyarakat minoriti.

Kira-kira 13 peratus daripada 1.35 bilion penduduk India merupakan beragama Islam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram