KEKALAHAN skuad Harimau Muda ke atas Korea Selatan dalam perlawanan pertama kumpulan C di Piala Asia nampaknya terus mendapat kritikan daripada penyokong.
Aksi hambar dan kemahiran individu yang lemah antara isu yang menjadi bahan bualan sepanjang perlawanan yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan.
Seorang penyokong yang dikenali dengan nama Jiwa Slumber berkata, kekalahan pasukan negara bukan disebabkan jurulatih, tetapi keupayaan pemain itu sendiri.
"Kalau macam inilah keupayaannya (pemain), panggil jurulatih dunia sekalipun memang tidak boleh pergi. Pemain sangatlah perlahan," katanya.
Berkongsi pendapat sama, Amir Soffan berkata, sebelum nak persoalkan taktikal jurulatih, kita kena persoalkan dahulu kebolehan dan keupayaan pemain-pemain.
Korea Selatan menjaringkan empat gol ketika menentang Harimau Muda.
Jelasnya, berdasarkan perlawanan menentang Korea Selatan pun sudah nampak mana kebolehan pemain tempatan.
"Kita nak pemain bermain seperti corak permainan Korea Selatan tetapi kebolehan dan keupayaan pemain kita mampu ke mengikut gaya permainan lawan?
"Harap ada perubahanlah untuk generasi masa depan," katanya.
Ad Zawawi pula mengkritik cara permainan Luqman Hakim yang dilihat terlalu teruk dan tidak mampu nak memegang bola.
"Luqman kena cari pasukan lainlah selepas ini yang bagi minit permainan kepadanya. Bola asyik tertinggal. Bahagian tengah tak hidup terus. Kualiti pemain muda kali ini memang tak macam zaman sebelum ini," katanya.
Turut mengkritik permainan Luqman ialah Kaidero Ejato yang turut memetik beberapa lagi pemain lain yang gagal mempamerkan aksi yang terbaik.
"Sentuhan pertama Luqman pun lemah. Mukhairi Ajmal pun tak boleh main. Hadi Fayyadh lagi hancur, pegang bola sahaja nak jatuh.
"Pertahanan banyak buat hantaran jauh ke bahagian sayap macam tiada pemain di bahagian tengah," katanya.
Terdahulu, Korea Selatan berjaya menjaringkan dua gol menerusi Lee Sang Min, Kim Tae Hwan dan dua gol dari Cho Young Wook manakala Malaysia mendapat gol tunggal menerusi Mukhairi Ajmal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram