BARU-BARU ini isu mengenai gaji minumum sekali lagi diperdebatkan namun kali ini luahan daripada seorang individu mengenai nasib dan kebajikan dirinya yang berkerja sebagai pembantu taska.
Berdasarkan hantaran yang dikongsikan, individu tersebut mendakwa pembantu taska masih dibelenggu isu gaji yang tidak setimpal dengan skop kerja yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.
Pengguna tersebut turut membangkitkan persoalan gaji pembantu taska kurang daripada gaji miniumum yang disyaratkan kerajaan sedangkan yuran khidmat asuhan kanak-kanak antara RM300-RM1,000 seorang.
Malah, individu itu turut mendakwa pemilik taska menjalani kehidupan mewah dengan kadar bayaran yang mereka terima namun tanpa segan-silu sanggup mengabaikan kebajikan para pekerjanya.
Tangkap layar luahan individu berhubung isu gaji pembantu taska.
Rentetan luahan daripada individu berkenaan, rata-rata komen yang diterima melahirkan simpati dan tidak bersetuju dengan kadar kelayakan gaji seorang pembantu taska sehingga ada yang mencadangkan untuk mereka mencari kerja baharu.
Pengguna Facebook, Azmir Khalid antara individu yang memberi solusi dan dia mencadangkan agar golongan berkenaan cuba untuk menukar suasana kerja baharu yang memberikan gaji lebih berpatutan daripada menjadi pembantu atau guru taska.
"Kalau ada guru taska yang rasa gaji tak berbaloi, cubalah tukar sikit suasana kerja. Bidang pendidikan awal kanak-kanak ada banyak cabang.
"Splashtastik Swim School lama cari guru renang yang ada latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, tapi sangat sukar nak dapat. Gaji guru renang paling rendah pun RM2500. Ya... minimum tu.. biasa lebih tinggi," katanya.
Tidak dapat dinafikan, bagi pengguna itu keputusan untuk menukar pekerjaan adalah dari diri seseorang itu namun seorang pekerja perlu mendapatkan bayaran yang setimpal dengan skop kerjanya.
Ada juga yang mencadangkan agar melaporkan perkara itu ke Jabatan Buruh kerana tindakan majikan berkenaan melanggar kadar gaji minimum RM1,500 yang bermula 1 Mei lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram