PERSIAPAN rapi oleh jurulatih pasukan Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang Kelayakan Piala Asia 2023 dilihat sebagai usaha yang baik.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan ini telah meneliti dua aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari pelbagai aspek untuk memperbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan itu.
Hal ini termasuk persiapan yang dilakukan dari segi persediaan padang yang secara jelasnya bakal menjadi antara salah satu faktor terbesar mempengaruhi persembahan pemain kebangsaan di atas padang.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pemerhati bola sepak dalam Twitter, Piang Shankly, dia telah memuat naik satu ciapan menjelaskan usaha keras barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk memperbaiki segala aspek berkaitan pasukan negara.
Dia menjelaskan bahawa Pan-gon sudah meminta pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memperbaiki struktur dan permukaan padang termasuklah ketinggian rumput bagi memastikan aksi terbaik ditampilkan oleh anak buahnya.
Piang Shankly menjelaskan usaha keras barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk memperbaiki segala aspek pasukan negara. — Twitter
"Untuk kelayakkan Piala Asia nanti, KPG dah berikan arahan kepada Perbadanan Stadium untuk potong rumput kepada ukuran yang lebih spesifik dan keluasan padang yang berlainan untuk setiap perlawanan.
"Ini baru betul 'home groud advantage' insya-Allah, ditambah dengan sokongan padu penyokong kita mampu layak," katanya dalam Twitter.
Tindakan rapi Pan-gon ini juga menunjukkan usaha komitednya untuk memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri ditambah pula dengan aksi di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya nanti.
Persiapan dari segi taktikal juga dilihat berjalan lancar apabila Malaysia menang kedua-dua aksi persahabatan selain menampilkan peningkatan dari segi corak permainan berpasukan.
Pasukan kebangsaan bakal mengharungi tiga perlawanan menetang pasukan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di SNBJ bagi kelayakan Piala Asia 2023 dalam usaha merebut satu daripada 11 slot automatik yang ditawarkan pada minggu hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram